PUTRAJAYA – Sebanyak 30,246 kes dilaporkan semalam dengan 223 kes daripadanya adalah kategori tiga, empat dan lima, menjadikan keseluruhan sebanyak 3,367,542 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, mengikut pecahan, kategori satu sebanyak 9,797 kes (32.39 peratus), kategori dua sebanyak 20,226 kes (66.87 peratus), kategori tiga sebanyak 115 kes (0.38 peratus), kategori empat sebanyak 54 kes (0.18 peratus) dan kategori lima 54 kes (0.18 peratus).
“Daripada 223 kes kategori tiga, empat dan lima, 58 kes (26.01 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi, 107 kes (47.98 peratus) telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak dan 58 kes (26.01 peratus) telah menerima dos penggalak.
“Selain itu, 120 kes (53.81 peratus) berumur 60 tahun dan ke atas, 53 kes (23.77 peratus) mempunyai komorbid dan satu kes (0.45 peratus) ibu mengandung,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sebanyak 26,653 kes sembuh dengan keseluruhan kes sembuh daripada Covid-19 sebanyak 3,367,542 kes.
Sementara itu, data pada laman web CovidNow menunjukkan, 113 kes kematian Covid-19 dilaporkan menjadikan jumlah kematian terkini sebanyak 33,497 kes serta sebanyak 41 kes meninggal dunia di luar hospital atau brought in death (BID) dengan jumlah kes BID sebanyak 6,955 kes.
Terdapat 310,160 kes aktif dilaporkan melibatkan 297,924 kes dikuarantin di rumah, 3,278 kes di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), 8,570 kes di hospital, 163 kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) tanpa bantuan pernafasan dan 225 kes di ICU dengan bantuan pernafasan. -KOSMO! ONLINE