PETALING JAYA – Isu arahan pembayaran pampasan berjumlah RM62.59 bilion ($14.92 bilion) kepada waris Sultan Sulu yang diputuskan oleh Mahkamah Arbitrasi Paris, Perancis baru-baru ini merupakan antara perkara yang akan dibangkitkan semasa persidangan Dewan Rakyat pada hari ini.
Perkara berkenaan akan dijawab oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Pertanyaan tersebut diajukan oleh Ahmad Hassan (Warisan-Papar) yang meminta Perdana Menteri menyatakan secara terperinci berkaitan isu berkenaan.
Turut menjadi tumpuan ialah soalan Wong Hon Wai (Bukit Bendera) kepada Menteri Kewangan mengenai satu penyelarasan program subsidi petrol, diesel dan LPG memandangkan harga antarabangsa bagi minyak mentah dan gas asli naik mendadak pada ketika peperangan Rusia-Ukraine yang sedang meruncing. Tuan Wong Hon Wai
Selain itu, Tuan Cha Kee Chin (Rasah) juga minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyatakan apakah kementerian itu akan mengkaji semula dan mengurangkan harga siling untuk pelitup muka dan kit ujian kendiri, di samping menetapkan harga siling untuk oximeter dan penyukat suhu. – KOSMO! ONLINE