PETALING JAYA – Dianggarkan tidak sampai separuh restoran mamak di seluruh negara mampu beroperasi secara 24 jam biarpun kerajaan memberi kelonggaran untuk berbuat demikian pada fasa peralihan endemik bermula pada 1 April ini.
Presiden Persatuan Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan, ini berikutan kebanyakan ahlinya berdepan masalah kekurangan antara 25,000 hingga 30,000 pekerja ketika ini.
Menurut beliau, sebelum pandemik Covid-19, Presma mempunyai lebih 12,000 rangkaian restoran atau ahli dan jumlah tersebut berkurangan kepada 9,000 ahli setakat kelmarin.
“Kami mengalu-alukan peralihan endemik, namun agak mustahil semua ahli dapat beroperasi 24 jam sehari.
“Isu kelulusan pengambilan pekerja asing masih belum selesai, jadi tidak sampai 50 peratus ahli kami mampu beroperasi 24 jam walaupun ada permintaan,” katanya ketika Kosmo! di sini semalam.
Kosmo! semalam melaporkan kerajaan mengumumkan operasi kedai makan diberi kebenaran beroperasi 24 jam pada fasa peralihan endemik pada 1 April.
Mengulas lanjut, Jawahar memberitahu, Presma sedang mencari kaedah operasi baharu dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing termasuk memperkenalkan perkhidmatan layan diri supaya jumlah pekerja di restoran dapat diminimumkan.
Jelas beliau, penggunaan teknologi robot yang mengambil alih tugas pelayan sememangnya menarik, namun menelan kos yang sangat tinggi.
Di Pulau Pinang, Pengarah Urusan Restoran Nasi Kandar Pelita Samudra Pertama (M) Sdn. Bhd., Datuk K.K. Sihabutheen memberitahu, bilangan pekerja yang semakin berkurangan sejak lebih setahun lalu menyukarkan pihaknya melanjutkan operasi selama 24 jam sehari.
“Walaupun memiliki lesen untuk beroperasi (24 jam), namun kami berdepan dengan kekangan dari segi pekerja.
“Buat masa ini, kami mengambil pendekatan untuk tunggu dan lihat (sebelum 1 April).
“Apa yang penting, kami akan menyelaraskan waktu operasi restoran nasi kandar rangkaian kami mengikut jumlah kakitangan atau pekerja yang ada terlebih dahulu,” katanya.