PARIT – Projek tanaman cili fertigasi telah membantu Muhammad Salleh Jamail, 32, yang dahulunya merupakan seorang asnaf keluar daripada kepompong kemiskinan.
Muhammad Salleh berkata, dia tidak menyangka peluang yang diberikan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) serta bimbingan Institut Agro Usahawan (i-Grow) memberi hasil lumayan selepas memperoleh hampir RM9,000 bagi tuaian pertama atau RM20,000 dalam masa empat bulan.
“Sebelum ini saya mencari rezeki dengan mengambil upah meracun dan membaja di kebun kelapa sawit dengan pendapatan RM1,000 sebulan.
“Saya berminat untuk bertani dan sudah mengikuti pelbagai program termasuk i-Grow. Saya mula memulakan tanaman cili sebanyak 1,000 pokok pada November tahun lalu,” katanya ketika ditemui di Kampung Talang, Tanjung Belanja di sini semalam.
Menurut Muhammad Salleh, meskipun cili fertigasi memerlukan penjagaan rapi terutama pada musim hujan, namun ia tidak memudarkan semangatnya, malah lebih bersemangat apabila ada rakan-rakan yang berminat selepas melihat usaha beliau membuahkan hasil.
Muhammad Salleh turut bercadang untuk membantu penduduk kampung mengusahakan cili fertigasi tersebut.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif i-Grow, Nordin Malek berkata, pihaknya merancang untuk menjayakan pertanian secara komuniti di Perak supaya ia lebih mapan dan menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan makanan.
“Kejayaan Muhammad Salleh menunjukkan bahawa golongan asnaf boleh berjaya sekiranya dibantu dan mendapat bimbingan serta latihan yang betul,” kata beliau.