KULIM – Kementerian Kesihatan (KKM) merampas sejumlah produk tidak berdaftar dan dicemari racun serta kosmetik tidak bernotifikasi dianggarkan bernilai RM324,200 dalam Ops Putra di tiga premis termasuk dua stor haram di daerah ini pada kelmarin.
Operasi tersebut dilakukan Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) Jabatan Kesihatan Negeri Kedah susulan aduan awam.
Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Othman Warijo memberitahu, dalam operasi di sebuah premis perniagaan dan dua stor haram itu, pihaknya merampas 10,122 botol pelbagai jenis produk farmaseutikal tidak berdaftar serta 882 kotak produk kosmetik tidak bernotifikasi dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).
“Turut dirampas ialah sebanyak 4,779 botol produk yang dicemari racun berjadual dan satu peranti digital.
“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM324,200,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, siasatan awal mendapati produk tidak berdaftar itu dijual secara berleluasa secara dalam talian di platform e-dagang Malaysia dan siasatan lanjut dijalankan di bawah Akta Racun 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952.
Tambahnya, KKM menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati semasa membeli sebarang produk kesihatan dan kosmetik yang dijual secara dalam talian.
“Pengguna perlu memastikan produk yang dijual mempunyai pelekat keselamatan hologram dan nombor pendaftaran produk MAL,” katanya. – KOSMO! ONLINE