fbpx

‘Perang’ komoditi Barat, Rusia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG lelaki mengisi tangki minyak petrol kereta di sebuah stesen minyak di Bandar Raya New York, kelmarin. - AFP

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengumumkan larangan import dan jualan ke atas minyak dari Rusia sebagai langkah meningkatkan tekanan ekonomi terhadap Moscow bagi operasi ketenteraannya di Ukraine, lapor agensi berita United Press International kelmarin.

Pentadbiran Biden sebelum ini telah pun melaksanakan beberapa sekatan ke atas Rusia bersama-sama dengan blok Barat lain terutamanya Kesatuan Eropah (EU).

Keputusan untuk mengenakan larangan ke atas minyak dari Rusia itu dibuat selepas berunding dengan sekutu-sekutu AS terutamanya EU.

“Langkah ini mendapat sokongan penuh daripada semua parti politik dalam Kongres dan saya percaya akan turut mendapat sokongan dari penduduk AS.

“Kita tidak akan memberi subsidi kepada peperangan yang dicetuskan Rusia,” kata Biden dalam satu taklimat akhbar kelmarin.

Biden sebelum ini berdepan dengan tekanan meningkat daripada kedua-dua parti Demokrat dan Republikan untuk meningkatkan sekatan ekonomi ke atas Moscow termasuk larangan import minyak.

“Langkah yang diambil ini akan menambahkan lagi ‘keperitan’ kepada Putin, namun kami sedar ia akan turut memberi kesan kepada AS,” ujarnya.

Selain itu, Biden turut menyalahkan peperangan  di Ukraine sebagai penyebab utama kepada peningkatan harga minyak petrol di AS kebelakangan ini. Larangan import ke atas minyak mentah yang diumumkan itu akan melonjakkan lagi harga bahan api.

Justeru itu, beliau memberi amaran kepada syarikat-syarikat minyak dan gas di AS agar tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan lagi harga bahan api untuk melipatgandakan keuntungan.

“Serangan oleh Rusia memberi kesan kepada kita semua. Ini bukan masanya untuk mengaut keuntungan,” tegasnya.

Dalam pada itu, menurut akhbar Daily Mail, Kremlin terlebih dahulu memberi amaran untuk menghentikan bekalan gas ke Eropah melalui saluran Nord Stream 1 sekiranya AS dan sekutu-sekutunya memboikot bahan api dari Moscow.

“Sebarang tindakan menyekat jualan minyak dari Rusia jelas akan mengakibatkan malapetaka kepada pasaran global. Peningkatan harga minyak akan menjadi sukar diramalkan. 

“Harga minyak boleh mencecah sehingga AS$300 (RM1,255) setong atau lebih,” kata Timbalan Perdana Menteri Rusia, Alexander Novak dalam satu ucapan di stesen televisyen tempatan.

Tambah Novak, Eropah perlu mengambil masa selama lebih setahun untuk menggantikan volum minyak yang disekat dari Rusia selain pengguna perlu membayar harga yang amat tinggi.

“Pemimpin-pemimpin Eropah perlu memberi amaran jujur kepada rakyat mereka berkenaan apa yang akan berlaku kepada pasaran.

“Jika anda mahu mengharamkan bekalan tenaga dari Rusia, silakan. Kami bersedia. Kami tahu di mana kami perlu menghantar bekalan minyak tersebut,” tegas Novak. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI