SELAYANG – Tindakan seorang pemandu van yang membuat laporan polis palsu hilang kad pengenalan kononnya diragut berbalas apabila dia didenda maksimum RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Nur Hafizah Rajuni menjatuhi hukuman itu ke atas K. Soundararajan , 27, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan disabitkan ke atasnya.
Tertuduh berdepan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda tersebut.
Soundararajan didakwa memberi maklumat secara bertulis yang mana tertuduh mengetahui ia palsu sehingga menyebabkan pegawai penyiasat melakukan siasatan.
Kesalahan itu dilakukan di Balai Polis Selayang di sini pada pukul 4.50 petang, 4 Mac lalu yang didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisak Hassni memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran.
“Undang-undang tidak menghalang mana mana individu untuk membuat laporan polis . Namun fakta yang ingin dimasukkan dalam laporan itu haruslah yang benar dan tidak direka.
“Sepatutnya tertuduh tidak patut mengambil kesempatan dengan membuat laporan palsu daripada dikenakan denda oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana kehilangan kad pengenalan,” katanya.
Peguam M. Mariappan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan memohon hukuman ringan kerana ini merupakan kesalahan pertama selain berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu lagi.
“Anak guam saya bekerja sebagai pemandu van dengan pendapatan RM1,000 sebulan,” katanya.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh membuat laporan polis dia telah diragut dua individu semasa bermain video di telefon bimbitnya.
Setelah disiasat beg tertuduh yang mengandungi dokumen penting hilang selepas tertinggal atas bonet kereta. Tertuduh membuat laporan palsu kerana takut akan didenda oleh JPN atas kecuaiannya. – KOSMO! ONLINE