KETIKA dunia diancam pemanasan global, teknologi dan amalan gaya hidup hijau menjadi solusi terbaik untuk menyelamatkan bumi daripada terus tercemar sehingga menyebabkan ‘kesan rumah kaca’ dan penipisan ozon.
Kesan rumah kaca adalah fenomena pemanasan bumi akibat terbentuknya lapisan di atmosfera berpunca daripada pelepasan gas rumah kaca seperti karbon dioksida dan bahan pencemar udara tidak terkawal yang memerangkap haba serta menghalang pembalikan semula bahang dari Bumi ke atmosfera.
Aktiviti serta kegiatan manusia dilihat banyak menyumbang kepada pemanasan global sejak era Revolusi Perindustrian dan semakin meningkat sehingga kini.
Sehubungan itu, teknologi hijau dan amalan hijau perlu diberi lebih perhatian oleh semua pihak dan dijadikan gaya hidup harian yang lebih selamat.
Bagi membincangkan lebih lanjut isu teknologi hijau, wartawan Kosmo! Ahad, Zubaidah Ibrahim menemu bual Ketua Pegawai Operasi Malaysian Green Techology And Climate Change Centre (MGTC), Syed Ahmad Syed Mustafa di pejabatnya di Bandar Baru Bangi, Selangor baru-baru ini.
KOSMO! AHAD: Nyatakan secara ringkas mengenai tugas dan peranan MGTC
SYED AHMAD: Kami telah ditubuhkan pada tahun 1998 sebagai Pusat Tenaga Malaysia yang mana tugas utama adalah melaksanakan program-program untuk memacu perkembangan tenaga yang boleh diperbaharui dan juga kecekapan penggunaan tenaga.
Pada tahun 2010, organisasi kami telah disusun semula dan bertukar menjadi Malaysian Green Technology Corporation yang mana peranan kami diperluaskan sebagai pemangkin pembangunan dan perkembangan penggunaan teknologi hijau sebagai usaha strategik untuk merangsang pertumbuhan sosio-ekonomi negara.
Pada tahun 2019 pula, kami telah diistiharkan sebagai Malaysian Green Techology And Climate Change Centre di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air yang diberi mandat untuk memperkasakan pertumbuhan hijau, di samping menangani perubahan iklim ke arah kelestarian alam sekitar.
Kenapa teknologi hijau penting untuk kelestarian alam dan perlu diberi perhatian oleh semua pihak?
Kegiatan manusia sejak berzaman lamanya telah meningkatkan pelepasan karbon dioksida dan bahan pencemar udara atau gas rumah kaca yang menyebabkan kenaikan suhu Bumi iaitu pemanasan global.
Kesan daripada keadaan ini adalah perubahan iklim yang boleh mengganggu keseimbangan alam sekitar serta menjejaskan sistem ekonomi, sosial dan kesihatan umum.
Salah satu cara yang utama menangani masalah tersebut adalah dengan penggunaan teknologi hijau serta amalan gaya hidup hijau.
Tujuan utama teknologi hijau adalah untuk melambatkan pemanasan global dan mengurangkan kesan rumah kaca.
Selain itu, ia juga menjimatkan penggunaan air, mengurangkan sisa dan menggunakan tenaga dengan lebih cekap.
Pada pendapat tuan, bagaimana tahap teknologi hijau di negara ini dan mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian?
Teknologi hijau telah menjadi sebahagian penting dalam ekonomi negara yang menyumbang sebanyak RM7.9 bilion atau 0.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara kasar (KDNK) pada tahun 2013.
Kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengembangkan teknologi hijau di negara ini.
Pelan Induk Teknologi Hijau (Green Technology Master Plan) 2013 hingga 2030 yang dilancarkan kerajaan adalah satu rangka kerja untuk memperkasakan teknologi hijau.
Ia bertujuan mengukuhkan ekonomi hijau dan menjadikannya sebagai pemangkin untuk memacu pertumbuhan yang mampan.
Berbagai inisiatif akan dilaksanakan untuk membantu mencapai sasaran-sasaran yang ditetapkan di bawah pelan ini seterusnya menjadikan Malaysia sebagai hab teknologi hijau di rantau Asean.
Apakah cabaran utama dalam memperkasakan teknologi hijau di negara ini?
Cabaran utama untuk memperkasakan teknologi hijau adalah kurangnya kesedaran dalam kalangan masyarakat dan industri mengenai perkara ini.
Selain itu, ramai juga beranggapan bahawa kos pelaburan permulaan untuk teknologi hijau sangat tinggi.
Kekurangan pembiayaan juga menyukarkan langkah untuk mengembangkan teknologi hijau di negara ini.
Kekurangan data dan maklumat menyebabkan pihak bank tempatan beranggapan projek teknologi hijau berisiko tinggi.
Pihak bank kebiasaanya lebih cenderung menguruskan pinjaman tradisional seperti pinjaman perniagaan biasa, perumahan dan sebagainya berbanding teknologi hijau.
Sehubungan itu, mereka mengenakan kriteria lebih ketat untuk pembiayaan yang menyebabkan kos pembiayaan lebih tinggi.
Nyatakan usaha-usaha yang dilakukan oleh pihak MGTC ke arah pembangunan teknologi hijau.
Pihak kami giat menjalankan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan tahap penggunaan teknologi hijau
Antara inisiatif tersebut adalah skim pembiayaan teknologi hijau atau GTFS, program pensijilan MyHIJAU Mark, skim elaun cukai pelaburan dan skim pengecualian cukai teknlogi hijau, energy management gold standard (EMGS), mobiliti karbon rendah, pemerolehan hijau kerajaan, bandar rendah karbon dan international green and eco products exhibition and conference (IGEM).
Sebagai contoh, skim pembiayaan teknologi hijau yang diperkenalkan pada tahun 2010 berperanan menyediakan akses pembiayaan yang lebih mudah daripada pihak bank tempatan.
Sejak diperkenalkan, terdapat peningkatan kelulusan pembiayaan pihak bank kepada 378 projek teknologi hijau dengan jumlah sebanyak RM4.92 bilion dalam tempoh 2010 sehingga Ogos tahun ini.
Sekiranya semua projek ini dilaksanakan adalah dijangka dapat mengurangkan pengeluaran karbon sebanyak 4.8 juta tan CO2eq.
Apakah definisi sebenar bandar raya hijau dan elemen-elemen yang diterapkan untuk menjadikannya sebuah bandar raya hijau?
Bandar raya hijau atau bandar rendah karbon adalah bandar yang mempunyai impak minimal ke atas alam sekitar dan sumbangan rendah ke atas perubahan iklim.
Bersama dengan pengaplikasian teknologi hijau, bandar raya ini mempunyai kadar pelepasan gas rumah kaca yang rendah.
Ia berikutan hasil daripada penggunaan tenaga dan air dengan cekap, peningkatan penggunaan pengangkutan awam, pengurangan sisa yang dihantar ke tapak pelupusan dan mempunyai jumlah pokok yang tinggi.
Elemen hijau atau rendah karbon yang diterapkan dalam bandar raya hijau adalah tenaga, mobiliti, sisa, air dan kehijauan.
Sejak tahun 2011, kami telah mewujudkan kerangka bandar rendah karbon (LCCF) untuk memberi panduan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), universiti dan wilayah lain mengenai cara mengubah bandar rendah karbon.
Bagi meningkatkan penyertaan PBT dalam memperkasakan bandar mapan dan rendah karbon di peringkat negeri, kami mengambil pendekatan lebih komprehensif terhadap perubahan iklim dan teknologi hijau dengan melancarkan cabaran bandar raya rendah karbon (LCCC) 2030 pada tahun lepas.
Ia satu inisiatif bertujuan untuk mempercepat transformasi bandar kita menjadi bandar rendah karbon.
Setakat ini, sebanyak 10 PBT telah berjaya dianugerahkan tahap diamond berdasarkan pencapaian pengurangan karbon.
Boleh terangkan sedikit mengenai inisiatif mobiliti karbon rendah seperti penggunaan kereta elektrik di negara ini?
Untuk menggalakkan pengunaan kenderaan elektrik, kami memperkenalkan program ChargEV yang menyediakan infratruktur stesen pengecasan di seluruh negara.
Setakat ini, kami telah memasang sebanyak 326 stesen pengecasan awam yang terletak di 223 lokasi strategik seperti hotel, pusat beli-belah, dan stesen minyak yang secara tidak langsung membantu premis berkenaan berkembang maju.
Setakat Ogos tahun ini, sebanyak 158,643 sesi pengisian dicatatkan iaitu pertumbuhan lebih 200 peratus dari tahun 2018 dan berjaya mencatatkan pengurangan pengeluaran karbon sebanyak 1,080 tan.
Apakah peranan yang perlu dilakukan oleh rakyat Malaysia untuk menjaga kelestarian alam dan mengaplikasikan teknologi hijau dalam kehidupan seharian?
Terdapat pelbagai usaha yang telah dijalankan diperingkat komuniti tempatan seperti kegiatan pembersihan, penanaman pokok dan pembersihan untuk membangkitkan kesedaran.
Setiap individu harus mengamalkan gaya hidup hijau seperti penjimatan penggunaan elektrik dan air, elak menggunakan plastik sekali pakai dan gunakan pengangkutan awam.
Selain itu, guna alat kelengkapan rumah seperti televisyen, peti ais dan penghawa dingin yang jimat tenaga.
Apakah perancangan MGTC dalam memperkasakan teknologi hijau pada masa akan datang?
Kami akan meneruskan dan mempertingkatkan lagi inisiatif-inisiatif sedia ada di samping memperkenalkan program baharu yang telah dirancang.
Ia bertujuan untuk memperluaskan penggunaan teknologi hijau, memperkukuhkan budaya hijau dan kelestarian alam sekitar serta menanggani isu perubahan iklim keseluruhannya.