PETALING JAYA – Pakar kejuruteraan awam dan pembinaan, WZ Satu Berhad (WZ Satu) telah mengemukakan cadangan untuk menukar namanya kepada Citaglobal Berhad untuk memberi gambaran yang lebih jelas tentang teras perniagaannya yang sedang bergerak ke hadapan.
Kumpulan kini berhasrat untuk berubah menjadi sebuah konglomerat yang terbabit dalam pengurusan kemudahan, telekomunikasi, tenaga, infrastruktur dan sektor teknologi.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, WZ Satu berkata, satu mesyuarat agung luar biasa (EGM) akan diadakan pada tarikh yang akan diumumkan kemudian bagi mendapat kelulusan pemegang saham bagi agenda yang dicadangkan.
Mengulas mengenai cadangan pertukaran nama Kumpulan, Pengerusi Eksekutif dan Presiden WZ Satu, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, cadangan penukaran nama tersebut mencerminkan keazamannya untuk meneruskan pengalaman dalam mengembangkan Citaglobal Sdn. Bhd. menjadi WZ Satu ke tahap yang lebih tinggi.
“Saya tidak sabar-sabar untuk menjadikan WZ Satu sebagai peserta yang serius dalam industri yang sedang diceburinya serta industri baharu yang boleh menyediakan pertumbuhan transformasi,” katanya dalam kenyataan.
Sehingga 31 Disember 2021, buku pesanan WZ Satu berjumlah RM578 juta dan ini akan memberikan prospek jelas pendapatan syarikat sehingga 2023. -KOSMO! ONLINE