JOHOR BAHRU – Kerajaan tidak pernah meminta masyarakat khususnya penerima sebarang bentuk bantuan untuk membalas budi dalam bentuk sokongan khususnya ketika pilihan raya.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sebaliknya berkata, bantuan diberi kerajaan itu perlu disyukuri dan dihargai.
“Sebagai kerajaan, apabila ada pihak kurang bernasib baik memohon bantuan kita perlu usahakan sebaik mungkin, kita cuba bantu mereka.
“Perkara ini (Program Baik Pulih Rumah di Bandar) tidak dapat dilakukan tanpa adanya kerjasama erat dan kukuh antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan surat kelulusan Program Baik Pulih Rumah di Bandar Negeri Johor yang diadakan di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru, di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai bahawa kepentingannya wujud sebuah kerajaan negeri yang stabil bagi membolehkan pelbagai agenda demi kesejahteraan rakyat dilaksana dengan baik dan tersusun.
Sementara itu, dalam majlis berkenaan, seramai 62 pemilik rumah kediaman terdiri daripada keluarga B40 menerima surat kelulusan baik pulih berkenaan darul 15 pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh Johor.
Tambah Reezal Merican, kementeriannya memperuntukkan sejumlah RM935,000 bagi pelaksanaan program itu di Johor sepanjang tahun ini dalam usaha meningkatkan taraf hidup golongan memerlukan.-KOSMO! ONLINE