TANJUNG MALIM – Remaja perempuan maut manakala adik lelakinya patah kaki kiri selepas motosikal ditunggang mereka bergesel dengan lori di Jalan Slim Village berhampiran Kampung Rasau di sini pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 11.30 pagi itu, Nurul Nazira Hanum Ismail, 17, yang membonceng motosikal jenis Honda RS 150 meninggal dunia di lokasi kejadian manakala adiknya, Muhammad Khairul Rezeal, 15, cedera.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, nahas dipercayai berlaku ketika lori dipandu lelaki berusia 34 tahun itu dalam perjalanan dari Slim Village menghala ke Slim River.
“Sebaik sampai di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang remaja lelaki cuba memotong lori namun terdapat kenderaan lain di arah bertentangan menyebabkan mangsa gagal mengelak lalu bergesel dengan kenderaan berat tersebut.
“Kemalangan itu menyebabkan pembonceng meninggal dunia di tempat kejadian manakala penunggang motosikal pula patah kaki kiri. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Slim River untuk bedah siasat,” katanya. – KOSMO! ONLINE