JAKARTA – Seorang lelaki di Dusun Kemuning dalam wilayah Jawa Timur tergamak meracun isterinya sehingga mati dengan alasan sakit hati kerana diusir dari rumah, lapor laman BeritaJatim, semalam.
Samiro Putra,45, berkata, dia meletakkan sisa racun tikus di dalam jag air kopi yang disediakan di warung milik mangsa.
“Saya sakit hati kerana diusir keluar rumah selepas 23 tahun hidup bersama. Saya tiada wang dan hilang tempat tinggal.
“Namun saya tidak berniat membunuh, saya cuma mahu memberinya pengajaran. Saya tidak sangka isteri, Ponisri, meminumnya sehingga habis bersama pelanggan warung, Nur Ahmadi Wijaya,” ujarnya.
Dalam sidang akhbar bersama polis, Samiro mengaku menyesal atas perbuatannya dan tidak menyangka niatnya untuk ‘mengajar’ isteri akhirnya bertukar menjadi kes bunuh. – Agensi