fbpx

Kejayaan Felda hari ini adalah usaha berterusan pemimpin BN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri disambut oleh warga Felda Endau pada Majlis Transformasi Perladangan Felda di Felda Endau, Mersing hari ini. - FOTO: RAJA JAAFAR ALI

MERSING – Perdana Menteri menegaskan kejayaan yang dinikmati Felda hari ini merupakan usaha berterusan pemimpin Barisan Nasional (BN) sejak dahulu.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Felda tidak akan wujud tanpa perjuangan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang bertujuan membasmi kemiskinan luar bandar khususnya orang Melayu.

Kata beliau, agenda itu diteruskan pemimpin BN selepas itu sehingga ke hari ini termasuk beliau sendiri yang mengumumkan beberapa inisiatif kepada para peneroka termasuk hal perumahan dan bantuan lain.

“Kejayaan yang kita kecapi hari ini adalah hasil perjuangan pemimpin BN yang dahulu.

(Tetapi) kita tak nak minta (diberi ucapan) terima kasih seperti orang lain buat kerana yang penting kita perlu sedar kejayaan Felda hasil perjuangan BN dari dulu hingga kini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Transformasi Perladangan Felda di Padang Awam Felda Endau, di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, ramai yang mendakwa mereka bertanggungjawab dan sayang kepada Felda tetapi hakikat sebenar perkara itu ada dalam kalangan BN dan pemimpinnya.

“Kalau nak kata orang lain sayang Felda, ada bukti mereka tak seperti yang mereka sebutkan, tetapi sekali lagi saya nak tegaskan BN yang sayang kepada Felda dan peneroka,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, terdapat pemimpin yang kini berada dalam parti lain sebenarnya bercadang untuk melakukan sesuatu terhadap Felda, namun usaha itu tidak berjaya.

“Saya nak beritahu rahsia bahawa saya dimaklumkan Pengerusi Pejuang (Parti Pejuang Tanah Air) Tun Dr. Mahathir Mohamad (dahulu) nak swastakan Felda sebelum Lembaga Letrik Malaysia (LLM) menjadi Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Sebenarnya sebelum ada TNB, Felda pun nak diswastakan tapi tak berjaya sebab itu beliau agak kecewa dan mulai tarikh itu beliau buat keputusan tidak beri lagi bantuan kewangan kepada Felda yang akhirnya perlu hidup sendiri mencari wang,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan telah meluluskan 3,000 tapak rumah generasi kedua di Johor dengan peruntukan RM60 juta bagi dana pembangunan infrastruktur projek itu.

Malah, kerajaan juga mewujudkan semula Tabung Usahawan Belia Felda dengan dana permulaan sebanyak RM10 juta yang berupaya melonjakkan taraf sosio ekonomi generasi baharu Felda selain menjadi pemangkin aktiviti ekonomi di kawasan tanah rancangan itu.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI