fbpx

Suami isteri rugi RM57,200 ditipu ‘pegawai polis’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHMAD ADNAN

TELUK INTAN – Sepasang suami isteri kerugian RM57,200 selepas diperdaya lelaki menyamar pegawai polis yang mendakwa mangsa terbabit kegiatan penggubahan wang haram.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pesara berusia 61 tahun itu menerima panggilan telefon daripada individu yang memperkenalkan diri daripada Telekom Malaysia (TM), Khamis lalu.

Katanya, individu terbabit memberitahu mangsa mempunyai tunggakan bil telefon namun dia menafikan perkara itu dan mendakwa mungkin namanya telah disalah guna pihak lain.

“Memandangkan akaun TM itu dibuka di Seremban, panggilan mangsa telah disambungkan kepada individu yang menyamar sebagai sarjan di Seremban, Negeri Sembilan.

“Suspek mendakwa mangsa terlibat kes penggubahan wang haram dan memberitahu seorang pegawai polis di Bukit Aman dikenali Datuk Reduan boleh membantu menyelesaikan masalah itu,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, Datuk Reduan kononnya ingin membantu mangsa dan meminta maklumat akaun lelaki itu untuk pindahan wang ke dalam akaun bagi tujuan semakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Katanya, setelah mangsa menyerahkan maklumat perbankannya, mangsa juga telah diminta untuk menyerahkan akaun milik isterinya berserta maklumat perbankan.

“Setelah serahan maklumat dibuat, individu terbabit mengambil alih kawalan ke atas akaun mangsa dan memindahkan wang berjumlah RM22,000 milik mangsa dan RM35,200 milik isterinya ke akaun pihak ketiga yang belum dikenal pasti.” katanya.

Mangsa yang menyedari telah ditipu, membuat laporan polis di Balai Polis Teluk Intan, semalam.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI