fbpx

Lelaki sesal terjerat budi, kasih sayang abang ipar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PERASAAN sayang kepada abang ipar timbul selepas mendapat layanan baik ketika menumpang di rumah kakak. –Gambar hiasan

“SAYA cukup kesal dengan apa yang berlaku. Kerana perbuatan jijik dan terlalu ikutkan nafsu, hubungan kakak kandung dan suaminya hampir ternoktah.”

Itu luahan Hakim Rahman (bukan nama sebenar) kepada Panorama seraya mengaku menyesal terhadap perbuatan tidak matang yang pernah dilaluinya itu.

Menyorot kembali ceritera lama, Hakim yang kini menginjak usia 23 tahun tidak pernah terfikir niatnya ke ibu kota bagi menumpang di kediaman kakak dan abang iparnya bertukar menjadi sejarah hitam dalam hidupnya.

Menurut anak jati kelahiran sebuah negeri di Pantai Timur itu, selepas tamat pengajian di peringkat sarjana muda dalam bidang perbankan, dia mendapat panggilan temu duga di ibu negara, sekali gus berhasrat untuk menumpang di rumah kakaknya untuk satu tempoh masa tertentu.

“Alhamdulillah, segala urusan temu duga dipermudahkan Allah dan tidak sampai satu minggu keputusan juga menyebelahi saya.

“Pada masa itu, jujur saya memang tidak biasa dengan suasana di ibu kota dan boleh dikatakan baru pertama kali menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur.

“Jadi mahu atau tidak, saya terpaksa meminta jasa baik kakak dan abang ipar untuk menumpang beberapa bulan sebelum mendapat bilik sewa lain,” ungkapnya.

Terbit rasa sayang

Jelas Hakim, kehadirannya ke ibu kota sangat diterima kakak dan suaminya, selain layanan begitu baik termasuk perihal makan minum dan tempat tinggal yang begitu selesa.

Bercerita lanjut, Hakim memberitahu, usia pernikahan kakak dan abang iparnya sudah mencecah lima tahun, namun mereka masih belum dikurniakan zuriat.

“Kakak bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta, manakala abang ipar pula hanya memandu lori menghantar barangan keperluan ke pasar raya sekitar Lembah Klang.

“Walaupun hidup mereka agak sederhana, namun nilai kebahagiaan dan kasih sayang antara mereka berdua dapat dilihat lebih-lebih lagi setelah tinggal sebumbung,” tuturnya.

Pun begitu, akui Hakim yang masih bujang dan tidak mempunyai kekasih, gejolak perasaannya mula berubah dan dia sendiri tidak tahu mengapa ia berlaku sedemikian.

“Entah apa yang mengganggu kotak perasaan ini. Jujur saya katakan, sifat dan perwatakan abang ipar yang baik dan banyak membantu sejak tinggal bersama menjadikan saya mula suka dan terbit rasa sayang terhadapnya.

“Pada awalnya, saya cuba elak perasaan tersebut. Setiap gerak-gerinya saya perhatikan tanpa disedari kakak,” katanya.

Dijadikan cerita, Hakim yang sudah bekerja sebagai eksekutif kewangan di salah sebuah bank terkemuka negara memperoleh pendapatan yang boleh dikatakan tinggi walaupun baharu beberapa bulan bekerja.

Hubungan makin rapat

“Cuti rehat abang ipar biasanya tidak menentu. Ada kalanya hari biasa pun dia akan bercuti. Tidak seperti kakak, jadual kerjanya lebih tetap dan memang akan bercuti pada hari Ahad sahaja dalam seminggu.

“Kadang-kadang dalam seminggu, pasti saya dan abang ipar akan cuti bersama tanpa kakak di rumah. Setiap kali ada cuti dan kelapangan, dia gemar memasak dan mengajak saya berbual, selain berkongsi pelbagai pengalaman kerjanya,” ujarnya.

Bermula dari situ, hubungan saya dengan abang ipar semakin rapat dan mesra sertas pernah beberapa kali keluar bersama serta dilakukan tanpa pengetahuan kakak.

Cerita Hakim, rentetan daripada kemesraan mereka berdua, abang iparnya pernah menyuarakan hasrat untuk meminjam sejumlah besar wang daripadanya bagi tujuan tertentu dan berjanji untuk memulangkannya.

“Disebabkan rasa terhutang budi dengan abang ipar dan kakak, saya bersetuju meminjamkannya.

“Lagipun jika nak dibandingkan dengan jasa mereka berdua, pastinya tak akan pernah mampu untuk saya balas,” ujarnya.

Meneruskan cerita, beberapa minggu setelah itu, Hakim memberitahu, abang iparnya ada bertemu dengannya di rumah sewaktu ketiadaan isterinya dan memberitahu bahawa dia terhutang budi dan tidak tahu bagaimana cara untuk membalasnya.

“Abang ipar memberitahu dia buntu memikirkan cara untuk memulangkan semua wang yang dipinjam tempoh hari selain takut diketahui isterinya.

“Lebih mengejutkan, abang ipar secara tiba-tiba memberitahu dia sanggup memberikan ‘maruahnya’ sebagai galang ganti dan berjanji untuk merahsiakannya.

“Dia juga memberitahu sudah lama menyedari saya menyukainya sejak dari awal menumpang di rumahnya, selain selalu memerhatikan setiap gerak-gerinya,” tuturnya.

Akui Hakim lagi, sejak insiden itu dan terlalu mengikutkan nafsu, dia pernah beberapa kali terlanjur bersama abang iparnya lebih-lebih lagi sewaktu ketiadaan kakaknya rentetan terjerat antara situasi dan hutang budi.

Sesal dengan apa yang dilakukan selain mengakui menjadi ketagih atas hubungan ‘jijik’ tersebut, Hakim nekad untuk keluar dari rumah itu tanpa pengetahuan kakaknya.

Ini kerana, dia berasa berdosa terhadap kakak kandung yang paling disayangi.

“Cukuplah dengan apa yang berlaku. Minat dan suka terhadap orang yang salah, selain terlalu mengikut nafsu songsang akhirnya menjerat diri sendiri.

Sampai sekarang, katanya, walaupun sudah berpindah, dia masih tidak boleh melupakan perkara tersebut.

“Setiap kali melihat wajah kakak terutama ketika pulang bercuti di kampung, kisah ‘hitam’ itu berlegar di minda, selain dihimpit rasa berdosa yang tiada kesudahan,” ujarnya menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI