MELAKA – Indonesia sedia membawa masuk satu juta pelancong kesihatan ke negeri ini bagi mendapatkan rawatan, sekaligus membantu meningkatkan ekonomi sektor pelancongan kesihatan negara.
Perkara itu didedahkan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis dalam satu sidang akhbar di Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Katanya, kerjasama itu dinyatakan oleh wakil kerajaan Indonesia dalam satu pertemuan yang diadakan di Jakarta baru-baru ini.
“Dalam pertemuan dengan wali PekanBaru, pihaknya memberitahu mereka mempunyai satu juta pelancong kesihatan yang sedia masuk ke negeri ini pada bila-bila masa bagi tujuan rawatan.
“Kita melihat ini sebagai satu peluang untuk memulihkan ekonomi kita dengan kadar segera, saya anggarkan kemasukan tersebut mampu memulihkan kerugian yang ditanggung negeri selama setahun,” katanya.
Justeru, beliau berkata, keputusan kerajaan memutuskan supaya sempadan negara dibuka bermula 1 April ini adalah tepat dan disifatkan prihatin dengan nasib sektor pelancongan negara.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam lawatan kerja itu antara perkara lain dibincangkan adalah menggalakkan pelaburan dua hala dan kerjasama melibatkan ‘magang’ atau pelajar latihan amali.
“Kita telah mengadakan usahasama melibatkan dua negara untuk membuat bas elektrik di PekanBaru.
“Dalam masa sama kita akan menggalakkan pelajar Indonesia khususnya jurusan perhotelan dan hospital untuk melakukan latihan industri atau latihan amali di negara ini bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja di negeri ini,” katanya.
Tambahnya, latihan amali itu dilihat mampu membantu krisis yang dihadapi dua sektor itu di negeri ini khususnya pada waktu kemuncak pelancongan iaitu November dan Disember. – KOSMO! ONLINE