SEREMBAN – Pendengaran kes dadah membabitkan selebriti sensasi, Zarina Anjoulie yang sepatutnya berlangsung di Mahkamah Majistret di sini hari ini ditangguhkan pada 30 Mac ini.
Majistret Mohd. Firdaus Salleh membenarkan permohonan penangguhan kes yang dibuat peguam, Ahmad Faiz Munawar.
Pada prosiding itu, pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi.
Terdahulu, Zarina atau nama lengkapnya, Zarina Anjoulie Mohamad Fahizul, 34, hadir ke Kompleks Mahkamah Seremban pada pukul 9 pagi dengan berselendang merah jambu bersama peguamnya.
Zarina juga kelihatan tidak senang dengan kehadiran petugas media yang berada di pekarangan mahkamah. Sikapnya kelihatan jauh berbeza berbanding pada prosiding sebutan semula kesnya pada 7 Oktober 2021.
Pada 13 September lalu, Zarina didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menggunakan methamphetamine pada Jun lalu.
Mengikut pertuduhan, Zarina yang mempunyai pengaruh di laman Instagram didakwa menggunakan methamphetamine dan air kencingnya positif dadah tersebut.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya. – KOSMO! ONLINE