PUTRAJAYA – Sebanyak 1,967 kes Covid-19 dimasukkan ke hospital semalam melibatkan kesemua kategori satu hingga lima.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, mengikut pecahan, sebanyak 691 kes (35.1 peratus) kategori tiga, empat dan lima serta 1,276 kes (64.9 peratus) kategori satu dan dua.
Menurutnya, enam negeri mencatatkan peratusan pengisian katil kes kritikal atau Unit Rawatan Rapi (ICU) melebihi atau sama 50 peratus iaitu Kelantan (73 peratus) Kuala Lumpur (65 peratus), Johor (63 peratus), Selangor (61 peratus), Perak (55 peratus) dan Putrajaya (50 peratus).
“Dalam masa sama, 11 negeri dengan peratusan pengisian katil bukan ICU melebihi 50 iaitu Putrajaya (114 peratus), Selangor (101 peratus), Perlis (93 peratus), Perak (93 peratus), Kuala Lumpur (93 peratus), Terengganu (83 peratus), Kelantan (79 peratus) dan Melaka (73 peratus).
“Seterusnya Sarawak (74 peratus), Pahang (70 peratus) dan Pulau Pinang (60 peratus),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, bagi katil Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), hanya satu negeri iaitu Melaka menunjukkan peratusan pengisian melebihi 50 peratus iaitu sebanyak 55 peratus.
“Pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) statik dengan 223 pesakit dengan peratusan penggunaan ventilator 25 peratus,” katanya. – KOSMO! ONLINE