PUTRAJAYA – Kebenaran solat jemaah di masjid dan surau tanpa penjarakan sosial yang diumumkan kerajaan semalam adalah sesuatu yang amat dinantikan oleh umat Islam di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, ia juga berita gembira buat umat Islam untuk menyambut bulan Ramadan nanti.
“Bagaimanapun, pelaksanaan perkara ini dan prosedur operasi standard (SOP) akhir untuk masjid dan surau tertakluk kepada ketetapan pihak berkuasa agama negeri-negeri.
“Semoga institusi masjid dan surau terus dimakmurkan dengan aktiviti ibadah, majlis dan halaqah ilmu serta lain-lain program pembinaan modal insan dan kemasyarakatan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Katanya, pihaknya juga ingin menyeru kepada umat Islam untuk terus berdoa serta bermunajat agar rakyat dan negara terus dipelihara daripada sebarang kemudaratan dan bencana.
Idris berkata, beliau juga mencadangkan kepada masjid dan surau untuk terus mengadakan solat hajat bagi memohon kesejahteraan dan keselamatan buat rakyat dan negara.
“Pengumuman fasa peralihan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam adalah terjemahan kepada kejayaan usaha-usaha kerajaan bagi menangani krisis kesihatan Covid-19 selain kerjasama erat daripada Keluarga Malaysia.
“Pengumuman ini dibuat berasaskan fakta dan data, juga setelah mengambil kira pelbagai faktor termasuk penilaian risiko daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pandangan yang dikemukakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya. -KOSMO! ONLINE