JASIN – Kira-kira 11 buah rumah di daerah ini tenggelam dalam kejadian banjir kilat yang melanda susulan hujan lebat berterusan, sejak kelmarin.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka Lt. Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) telah buka di Sekolah Kebangsaan Parit Penghulu pada pukul 8 malam tadi bagi menempatkan mangsa banjir.
Katanya, setakat ini seramai 40 mangsa telah dipindahkan dari kawasan yang terjejas teruk iaitu Kampung Parit Penghulu, Kampung Tersusun Rambai Jaya dan Kampung Lanchang.
“Pada tengah hari semalam sebanyak lima kawasan penempatan terjejas iaitu di RIM, Kampung Chenderah, Kampung Gapis, Kampung Batang Melaka dan Kampung Terentang.
“Bagaimanapun air mulai surut dan terbaharu kini tiga buah kawasan iaitu di Parit Penghulu, Kampung Tersusun Rambai Jaya dan Kampung Lanchang pula dilanda banjir kilat,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat pukul 8 pagi tadi pihaknya menjangkakan jumlah mangsa terjejas akan terus meningkat.
“Di Kampung Parit penghulu masih terdapat enam buah rumah yang tenggelam teruk melepasi ketinggian separuh rumah atau kira-kira satu meter.
“Kampung Tersusun Rambai Jaya pula empat buah rumah dan sebuah di Kampung Lanchang,” katanya. – KOSMO! ONLINE