PETALING JAYA – Penduduk di beberapa negeri semenanjung termasuk Sarawak dinasihatkan berwaspada susulan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang malam ini.
Menurut Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), cuaca buruk itu dijangkakan berlarutan sehingga pukul 1 pagi esok.
“Amaran dikeluarkan membabitkan seluruh kawasan di negeri Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.
“Di Perak melibatkan Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak dan Kuala Kangsar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Di sebelah timur, keadaan yang sama turut diramalkan berlaku di Kelantan melibatkan Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang.
Manakala di Pahang, keadaan dijangka tertumpu di kawasan Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh, Bera dan Rompin.
“Di Negeri Sembilan pula, amaran dikeluarkan bagi kawasan Jelebu, Kuala Pilah, Jempol dan Tampin sementara di Johor membabitkan Segamat, Batu Pahat, Kluang dan Kulai.
“Di Sarawak, keadaan hanya tertumpu di Kapit (Bukit Mabong) dan Limbang.
Jelasnya lagi, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 millimeter sejam dan sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE