RIO DE JANEIRO – Datuk Bandar Rio de Janeiro, Eduardo Paes mengumumkan kelmarin bahawa bandar raya itu membatalkan peraturan pemakaian pelitup muka di kawasan terbuka dan tertutup selepas Brazil semakin pulih daripada Covid-19.
“Selaras dengan keputusan jawatankuasa saintifik (mengenai pandemik), kita akan menyiarkan dekri esok (hari ini) untuk menamatkan keperluan pelitup muka sama ada di ruang terbuka atau tertutup.
“Apabila kita mencapai kadar vaksinasi dos penggalak sebanyak 70 peratus , kita juga akan membatalkan peraturan pasport vaksin,” kata Paes dalam satu kenyataan di laman Twitter.
Langkah Paes menjadikan Rio sebagai ibu negeri pertama di Brazil yang menarik balik peraturan pelitup muka di ruang tertutup. Warga kota raya itu diberi pilihan untuk memakai pelitup muka atau sebaliknya di luar rumah sejak Oktober 2021.
Brazil dilanda pandemik Covid-19 dengan angka kematian lebih daripada 650,000 orang sekali gus korban kedua tertinggi di dunia selepas Amerika Syarikat .
Bagaimanapun, angka korban dan jangkitan menurun dengan ketara berikutan lebih 72 peratus daripada 213 juta penduduk Brazil telah mendapat vaksinasi lengkap.
Purata 3,000 kematian harian ketika kemuncak krisis Covid-19 dicatatkan Brazil pada April 2021 tetapi kini menurun kepada 430.
Di Rio de Janeiro, 83.8 peratus populasinya mendapat vaksinasi lengkap, manakala 42.3 peratus lagi sudah menerima dos penggalak.
Kota raya didiami 6.8 juta penduduk itu menangguhkan karnival tahunannya pada bulan depan. Pada asalnya, karnival Rio de Janeiro itu sepatutnya diadakan minggu lalu, namun ditunda berikutan kebimbangan penularan varian Omicron.
Bandar terbesar di Brazil, Sao Paulo pula masih melaksanakan peraturan pelitup muka tetapi mempertimbangkan untuk memansuhkannya untuk ruang terbuka pada minggu ini. – AFP