SEREMBAN – Buat julung kalinya, Universiti Islam Malaysia (USIM) menandatangani perjanjian Memorandum Persefahaman (MOU) bersama KRU Entertainment Sdn. Bhd. (KRU) bagi mewujudkan platform keusahawanan kepada para pelajar.
Naib Canselor USIM, Datuk Dr. Mohamed Ridza Wahiddin berkata, kolaborasi itu bertujuan untuk memupuk kerjasama USIM bersama industri melalui program-program yang dijalankan bersama KRU terutamanya yang melibatkan keusahawanan.
“Untuk USIM, kita sendiri ada mewujudkan platform keusahawanan melalui konsep Prosumerisme melalui Pusat Keusahawanan Universiti (PKUU) USIM yang memberi banyak peluang dan inisiatif perniagaan kepada pelajar USIM dalam memulakan perniagaan.
“Pelbagai peluang kerjasama dari latar belakang yang berbeza daripada industri kreatif dilihat boleh dijalinkan bersama KRU seperti buku digital penyelidikan sains dan teknologi iaitu ‘eBook’ dan ‘audio book’, selain platform keusahawanan untuk mempamerkan barang-barang hasil inovasi pelajar sama seperti Shopee dan Lazada,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Mohamed Ridza yang mewakili USIM telah menandatangi MOU bersama Ketua Pegawai Eksekutif KRU, Datuk Norman Abdul Halim di Canselori USIM di sini semalam.
MoU itu hasil daripada penempatan pensyarah USIM, Dr. Safiyyah Ahmad Sabri di KRU melalui program CEO@Faculty yang dianjurkan oleh Akedemi Kepimpinan Kepimpinan Tinggi (AKEPT) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi yang memberi peluang libatsama di antara akademik dan industri tempatan. – KOSMO! ONLINE.