PARIT – Biarpun dirinya sendiri tidak sihat selepas kaki patah dalam kemalangan, namun Khairudin Hamzah sanggup berulang alik lebih 30 kilometer (km) dari tempat kerja ke rumahnya bagi menguruskan isteri yang sakit terlantar sejak tiga tahun lalu.
Tukang rumah itu akan pulang ke kediamannya di Kampung Padang Bola, Parit di sini, pada waktu tengah hari bagi menguruskan cinta hatinya itu, Asmah Mohd. Idrus, 55.
Menurut Khairudin, 58, dia mempunyai seorang anak tiri berusia 30-an yang juga orang kelainan upaya (OKU) masalah pembelajaran, yang menemani isterinya di rumah.
“Kehidupan kami berubah sejak September 2019 selepas saya mendapat panggilan daripada rakan mengatakan isteri saya pengsan dan mulutnya berbuih.
“Ketika itu, isteri sedang berniaga sarapan pagi di pekan Tanjung Belanja. Dia kemudian dikejarkan ke hospital dan koma hampir dua minggu sebelum sedar dan terlantar sehingga sekarang,” katanya kepada Kosmo!.
Cerita Khairudin, dia tidak mampu melakukan kerja berat selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya Ogos lalu di Bukit Berapit ketika mahu pulang menguruskan isterinya.
“Kaki kanan saya patah dan sepatutnya masuk besi tapi tertangguh disebabkan Covid-19.
“Sekarang tak boleh kerja berat, tetapi ada kalanya terpaksa panjat bumbung rumah untuk bertukang kerana kalau tidak, kami nak makan apa,” luahnya.
Khairudin berkata, isterinya turut menerima bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta wakil rakyat dan orang ramai.
“Selain upah tukang rumah kira-kira RM700 sebulan, bantuan susu serta lampin pakai buang setiap tiga bulan sekali daripada Baitumal, selain RM300 sebulan daripada JKM,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Belanja, Khairudin Abu Hanipah berkata, kesusahan Khairudin sentiasa dalam pemantauan pihaknya dan bantuan berterusan akan diberikan kepada mereka.
Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 08800-29-00005557-7 di atas nama Khairudin Hamzah atau menghubungi beliau di talian 011-14431983.