KUALA LUMPUR – Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengagihkan sumbangan bantuan pendidikan bagi sesi persekolahan tahun 2022 bernilai keseluruhan RM335,500 kepada 671 pelajar asnaf yang merupakan anak kepada veteran ATM.
Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hashim Abdul Aziz berkata, agihan meliputi peruntukan sebanyak RM335,500 dengan setiap penerima menerima sebanyak RM500.
Jelasnya, program bantuan persekolahan “Back to School” Tabung Zakat Yayasan Veteran ATM dan Dana Kempen Tabung Pahlawan merupakan inisiatif JHEV ATM melalui Yayasan Veteran ATM (YVATM) untuk meringankan beban sara hidup asnaf Veteran ATM.
“Program ini adalah insiatif bagi mengurang kos perbelanjaan yang ditanggung oleh ibu bapa atau penjaga dalam membuat persiapan awal sekolah.
“Oleh itu, kami warga Kementerian Pertahanan amat berharap agar bantuan ini dapat membakar semangat anak-anak veteran ATM untuk ke sekolah, menimba ilmu dan seterusnya menjadi insan berjaya di masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan “Back To School” Tahun 2022 Tabung Zakat Yayasan Veteran ATM dan Dana Kempen Tabung Pahlawan di Hotel Royale Chulan di sini hari ini.
Turut hadir menyempurnakan majlis tersebut adalah Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zamrose Mohd Zain, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pertahanan, Dr. Anis Mahmud@Abdul Samad dan Ketua Pengarah JHEV, Datuk Dzulkarnain Ahmad.
Tambah beliau, seramai 40 orang penerima termasuk 2 orang penerima bukan Islam telah menerima sumbangan bantuan persekolahan.
“Manakala, seramai 591 penerima asnaf dan 35 penerima dalam kalangan veteran ATM bukan Islam akan dibayar terus ke akaun bank masing-masing pada pertengahan bulan ini.
“Peruntukan untuk penerima asnaf veteran ATM menggunakan Tabung Zakat Yayasan Veteran ATM manakala yang bukan Islam pula menggunakan dana Kempen Tabung Pahlawan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE