fbpx

Nekad tangkap ular tedung selar masuk rumah guna kayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zulkifli bersama ular tedung selar yang ditangkap berdekatan rumahnya di Kampung Kuala Sat, Ulu Tembeling di Jerantut semalam.

JERANTUT – Berbekalkan kemahiran dan teknik yang diajar rakan, seorang lelaki nekad menangkap seekor ular tedung selar yang masuk ke dalam rumahnya di Kampung Kuala Sat dekat Hulu Tembeling di sini semalam.

Zulkifli Jamaludin, 56, berjaya menangkap ular tedung sepanjang kira-kira tiga meter yang masuk ke rumahnya menggunakan sebatang kayu kira-kira pukul 5.40 petang.

Zulkifli berkata dia mula mengesyaki kewujudan ular berkenaan selepas mendengar bunyi ayam berketuk dan bunyi berdesis di belakang rumah ketika dia sedang solat asar.

“Selesai sahaja solat, saya turun ke belakang rumah dan terkejut melihat seekor ular tedung selar mengembangkan kepalanya dan ular ini terus menjalar melalui sebuah lubang memasuki ruang bilik berdekatan dapur yang mana pada masa itu isteri sedang memasak.

“Dengan menggunakan kayu, saya masuk ke dalam bilik dan melihat ular itu mengembangkan kepalanya, namun saya membiarkan ular melingkar atas lantai sebelum menekan kepalanya dengan kayu dan memegang kepala serta badannya dengan kuat,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, seperti penangkap ular yang terlatih, dia perlu bersabar dan sentiasa berwaspada dengan risiko keselamatan diri dan perlahan-lahan menghampiri reptilia itu yang sudah melingkar berkemungkinan sudah kekenyangan.

Katanya, selepas berjaya menangkap ular tersebut dia memasukkannya ke dalam guni sebelum dilepaskan di dalam hutan berdekatan rumahnya.

Bapa kepada lima orang anak itu menasihatkan orang ramai supaya jangan menangkap ular berbisa kecuali mempunyai kemahiran dan pengalaman termasuk berani berdepan dengan situasi berisiko. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI