fbpx

Tangan manusia hancurkan dunia sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BANYAK pihak mengutuk serangan yang dilancarkan Rusia ke atas Ukraine yang menyifatkannya sebagai menceroboh kedaulatan negara lain.

Oleh AZIZAN CHE MAN

Terdapat banyak ancaman terhadap kebajikan penduduk dunia dan sebahagiannya berpunca daripada masalah semula jadi seperti kemarau, banjir dan wabak penyakit.

Ancaman lain pula adalah masalah berpunca daripada manusia sendiri, misalnya persaingan perdagangan antara negara, ketidakadilan yang dirasai oleh kumpulan agama atau etnik dan sistem kerajaan yang melakukan penindasan.

Seterusnya adalah ancaman peperangan terhadap negara lain.

Dua bom nuklear yang diberi kod nama Fat Man dan Little Boy yang digugurkan di Hiroshinma dan Nagasaki, Jepun ketika Perang Dunia Kedua menandakan satu langkah dalam keupayaan manusia untuk memusnahkan diri sendiri.

Amerika Syarikat (AS) bukan satu-satunya kuasa dunia yang mampu menghasilkan senjata nuklear, kerana Kesatuan Soviet turut berjaya mencipta senjata berbahaya itu setelah tamat Perang Dunia Kedua.

Apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ditubuhkan, sesetengah masyarakat dunia pada awalnya sering beranggapan, pihak yang menang iaitu United Kingdom, Kesatuan Soviet dan AS yang bersepakat dalam Perang Dunia Kedua akan terus ‘bersahabat’.

Namun, tidak lama kemudian, persepakatan tersebut berakhir.
Perang Dingin mula memasuki era kemuncaknya pada 1960-an yang hampir mencetuskan Perang Nuklear.

Wujud situasi panas antara kedua-dua blok iaitu Timur dengan Barat apabila Jerman Timur membina tembok Berlin bagi menyekat penduduknya daripada memasuki Berlin Barat, sekali gus menyebabkan berlaku pemisahan Jerman kepada dua ideologi berbeza.

Masih ingatkah dunia pada tahun 1962, krisis peluru berpandu Cuba mula meletus setelah Kesatuan Soviet menghantar pelantar peluru berpandu ke Cuba yang dihalakan ke AS.

Amaran keras dikeluarkan oleh Presiden Kennedy dengan menghantar tentera lautnya ke perairan Cuba.

Justeru, Kesatuan Soviet menarik balik peluru berpandunya.


SERANGAN ke atas Ukraine menunjukkan Rusia ingin mempamerkan kuasanya di pasca perang dingin.

Sungguhpun begitu, krisis tersebut membawa kepada keadaan cemas kepada kedua-dua kuasa besar dunia ini.
Buku The Cuban Missile Crisis Revisited yang disunting oleh penulis James A Nathan menjelaskan, kedua-dua pihak agak gementar potensi berlakunya Perang Nuklear.

Pada 1963, Limited Test Ban Treaty ditandatangani bagi mencegah ujian nuklear yang membawa pelbagai kesan buruk. Kemudian masyarakat dunia menyaksikan kerjasama menarik antara kedua-dua pihak melalui penjelajahan angkasa lepas.

Dalam pada itu, kekalahan AS dalam perang Vietnam memberitahu kepada dunia bahawa negara Uncle Sam itu satu kuasa besar yang boleh dikalahkan.

Sungguhpun wujud filem bersifat propaganda Perang Dingin seperti Rambo dan Rocky, ia tidak mampu memadamkan fakta itu.

Pencerobohan Kesatuan Soviet ke atas Afghanistan pada 1979 merupakan penamat kepada era AS cuba berbaik-baik dengan Soviet, menyebabkan konfrontasi kembali berlaku antara kedua-dua pihak.

Jimmy Carter yang merupakan presiden AS pada ketika itu memberi amaran kepada Kesatuan Soviet berhubung pencerobohan itu hingga sesetengah sarjana mendefinisikannya sebagai era Perang Dingin kedua.

Soviet cuba menawan Afghanistan yang terletak berdekatan selat Hormuz, kawasan kaya dengan sumber minyak.
AS dilihat memiliki kepentingan pelaburan minyak di Teluk Parsi. Ini menyebabkan ketegangan berterusan antara kedua-dua kuasa besar dunia itu.

Komitmen ketenteraan AS yang baharu melalui Doktrin Carter menganggap, sebarang kuasa luar yang bertindak menguasai Teluk Parsi dikira sebagai pencabulan yang perlu dihalang temasuk menggunakan kekuatan tentera.

Oleh itu, AS mengambil tindakan membekalkan senjata secara rahsia kepada Mujahidin yang melawan tentera Soviet.
Sejarah dunia menjelaskan, sejak berkurun seperti era Parsi dan Rom, keseimbangan kuasa mampu menentukan keamanan dan juga peperangan sesebuah negara atau empayar.

Keruntuhan Kesatuan Soviet membolehkan AS bertindak sebagai polis dunia dan memperluas ideologi dan kepentingannya.

PEPERANGAN bukan hanya meragut banyak nyawa, malahan turut memusnahkan kediaman dan ketamadunan yang dibina sejak sekian lama.

Rusia memiliki pengaruh yang kuat di Eropah Timur sungguh pun setelah kejatuhan Kesatuan Soviet.
Menyentuh situasi yang sedang berlaku ketika ini, sejak awal 2022, Rusia telah menempatkan lebih 100,000 tentera di sempadan Ukraine hingga pihak AS dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) melihatnya sebagai ancaman.

Sungguhpun ia pada mulanya dinafikan oleh Ketua Angkatan Bersenjata Rusia, Valery Gerasimov yang menyatakan pihaknya tidak mahu menyerang Ukraine.

Namun pada hari ini, pertumpahan darah berlaku setelah Presiden Vladimir Putin mengarahkan operasi ketenteraan ke atas negara bekas Soviet itu.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy mengumumkan, negaranya mengambil tindakan memutuskan hubungan diplomatik dengan Moscow sebagai tindak balas terhadap pencerobohan Rusia di sempadannya.

Keputusan itu dibuat setelah beberapa jam Putin melancarkan serangan udara dan darat di sepanjang sempadan Ukraine.

Rusia menggunakan konflik Ukraine sebagai penanda aras untuk memulakan konfrontasi dengan negara Barat lain dan mempamerkan kuasanya di pasca perang dingin.
—————————————————————————————————————————————————————–
AZIZAN CHE MAN ialah penyelidik dan pelajar Sarjana di Pusat pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI