JOHOR BAHRU – Insiden tular pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) oleh sekumpulan pengunjung pada program RIUH EK! yang berlangsung di Ayer Hitam, dekat sini pada Jumaat lalu berlaku secara spontan.
Menurut MyCreative Ventures Sdn Bhd (MyCV), insiden tersebut berlaku selepas majlis berakhir serta Menteri telah meninggalkan majlis dan ia bukanlah sebahagian daripada atur cara pihak penganjur.
MyCV berkata, pihak penganjur bersama pasukan Jabatan Sukarelawan (Rela) juga telah mengambil tindakan segera dengan meleraikan mereka yang terlibat dan meminta mereka beredar dengan serta-merta.
“MyCV ingin mohon maaf dan akan memastikan insiden sebegini tidak akan berulang di masa hadapan.
“MyCV juga telah mengarahkan syarikat pengurus acara untuk mengambil langkah yang lebih ketat bagi Kembara RIUH di masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Konsert “Riuh Ek!” yang diadakan pada Jumaat lalu merupakan sebahagian daripada program Riuh Keluarga Malaysia oleh kementerian berkenaan yang bertujuan untuk membantu pemulihan industri kreatif yang terkandas akibat wabak Covid-19.
Mengulas lanjut MyCV berkata, pihak polis telah menghubungi dan mengambil keterangan pihak penganjur di mana kerjasama sepenuhnya telah diberi bagi membantu melancarkan siasatan.
Pada masa sama, MyCV turut menyerahkan kepada pihak polis bagi menentukan hasil siasatan.
“MyCV mengambil berat isu keselamatan dan sentiasa menekankan kepentingan mematuhi SOP dalam semua acara,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE