fbpx

MSN Perak, UiTM sedia laluan khas atlet lanjut pelajaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohamed (dua dari kanan) merasmikan Program Neuro Linguistik (NLP) di Dewan Seri Iskandar UiTM Perak sambil diperhatikan Rektor UiTM Perak, Prof Dr Md. Yusof Hamid dan Pengarah MSN Perak, Johari Sham Ahmad Shohor Affendi (tiga dari kanan).

Oleh SHAARANI ISMAIL

SERI ISKANDAR – Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak bekerjasama dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak dalam menyediakan laluan khas untuk atlet negeri melanjutkan pengajian dengan kaedah yang dipermudahkan.

Melalui kerjasama itu juga, UiTM Perak akan dapat dibangunkan sebagai pusat sukan tumpuan atau kecemerlangan bagi atlet dan pasukan bertaraf negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata, melalui kerjasama itu, diharapkan masa depan atlet negeri akan lebih terjamin dalam menyeimbangkan prestasi sukan dan juga akademik.

“Melaluinya nanti mana-mana atlet yang ditawarkan tempat di UiTM Perak dapat dikumpulkan untuk meneruskan program latihan dengan kemudahan sukan dan lokasi yang selesa di sini.

“Ini akan menjadi satu kelebihan buat mereka kerana pusat latihan terletak berdekatan dengan penginapan selain lebih berpusat dan bersistematik yang akan memudahkan pemantauan oleh MSN Perak sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Neuro Linguistik (NLP) Kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) Perak 2020 dan Majlis Menandatangani Surat Hasrat di antara MSN dan UiTM Perak di Kampus UiTM Perak Seri Iskandar di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah MSN Perak, Johari Sham Ahmad Shohor Affendi dan Rektor UiTM Perak, Prof. Dr. Md. Yusof Hamid.

Khairul Shahril berkata, kerajaan negeri menyokong baik usahama yang dijalinkan antara MSN Perak dan UiTM kerana ia adalah platform terbaik bagi atlet, jurulatih dan pegawai sukan membina prestasi mereka ke tahap yang tertinggi selain memberi peluang kepada mereka meningkatkan pengetahuan dan kemahiran masing-masing.

Sementara itu, Md. Yusof berkata, atlet negeri yang berpeluang ditempatkan di kampus UiTM Perak atau pun cawangan UiTM yang lain mempunyai banyak kelebihan kerana boleh melaksanakan pengajian secara fleksibel.

“Jika atlet berkenaan menghadapi kejohanan ketika mereka sedang menghadapi tempoh peperiksaan, mereka boleh menggunakan semua fasiliti yang terdapat di kampus cawangan UiTM lain yang berdekatan lokasi pengajuran sukan serta boleh mengambil peperiksaan di mana-mana kampus cawangan tanpa perlu kembali ke kampus asal.

“Program ini matlamatnya adalah untuk membantu dan memudahkan atlet dalam melahirkan atlet yang berprestasi melalui program pengajian yang fleksibel,” katanya.

Terdahulu program NLP yang dilaksanakan itu disertai lebih 500 atlet, pegawai dan jurulatih yang akan mewakili Perak pada temasya SUKMA 2020 yang akan berlangsung di Johor pada Mac tahun depan.

Program selama tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad ini adalah sebahagian daripada langkah kesiapsiagaan atlet negeri dan mereka yang terbabit mewakili Perak pada SUKMA 2020 bagi mempersiapkan ketahanan mental, fizikal, emosi dan motivasi mereka. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI