PUTRAJAYA – Penggunaan fasiliti kesihatan khusus bagi kes Covid-19 seperti katil kes kritikal atau unit rawatan rapi (ICU) dilaporkan mencatat melebihi 50 peratus di tujuh negeri di seluruh negara.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan penggunaan melebihi 50 peratus itu dikesan berlaku di Kelantan (73 peratus), Putrajaya (67 peratus), Kuala Lumpur (62 peratus), Johor (61 peratus), Selangor (60 peratus), Perak (53 peratus) dan Labuan (57 peratus).
“Penggunaan katil bukan ICU melebihi 50 peratus pula melibatkan sebanyak 11 negeri yang didahului oleh Selangor (109 peratus), Putrajaya (104 peratus), Perlis (91 peratus), Kuala Lumpur (94 peratus), Perak (92 peratus), dan Kelantan (85 peratus).
“Turut mencatatkan penggunaan katil bukan ICU melebihi 50 peratus adalah Terengganu (82 peratus), Sarawak (72 peratus), Pahang (67 peratus), Johor (67 peratus) dan Pulau Pinang (57 peratus),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, bagi statistik penggunaan katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) pula hanya Melaka mencatatkan penggunaan melebihi 50 peratus iaitu sebanyak 59 peratus.
“Pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) hari ini mencatatkan peningkatan kepada 223 pesakit berbanding 216 pesakit semalam dengan kadar peratusan penggunaan ventilator sebanyak 25 peratus.
“Manakala 81 kes daripada 223 pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan disahkan positif Covid-19 dan 142 kes daripada jumlah tersebut berstatus disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan,” ujar beliau.- KOSMO! ONLINE