fbpx

Serangan Rusia berterusan sehingga Ukraine berhenti menentang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG kanak-kanak berjalan di luar sebuah bangunan yang musnah akibat bedilan bom di bandar Irpin pada 5 Mac 2022. – AFP

MOSCOW – Presiden Rusia, Vladimir Putin menegaskan bahawa kempen ketenteraannya di Ukraine akan terus berlangsung mengikut perancangan dan tidak akan berakhir sehingga Kiev berhenti menentang, lapor laman berita Wion News kelmarin.

Beliau membuat kenyataan itu dalam satu perbualan telefon dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan.  Pemimpin Turki itu menyeru Kremlin melaksanakan gencatan senjata di Ukraine.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),  perang Ukraine menyumbang kepada  krisis pelarian paling pantas berkembang di Eropah sejak Perang Dunia Kedua.

Putin berkata, Ukraine masih enggan memenuhi perjanjian yang dipersetujui bagi isu kemanusiaan yang meruncing itu, demikian menurut kenyataan dari Kremlin.

Putin sebelum ini menyenaraikan syarat untuk menghentikan perang termasuk ‘melucutkan’  tentera dan membasmi ideologi neo-Nazi di Ukraine, pengiktirafan Crimea sebagai sebahagian daripada Rusia serta pengiktirafan wilayah-wilayah pemberontak di timur Ukraine sebagai negara  bebas. 

Bagaimanapun, kekuatan penentangan tentera Ukraine terus mengejutkan Rusia, yang seterusnya bertindak balas dengan menyasarkan kawasan-kawasan berpenduduk termasuk Kharkiv, Chernihiv dan Mariupol, kata Kementerian Pertahanan Britain dalam sesi taklimat risikan hariannya.

Sementara itu, Penasihat Kementerian Dalam Negeri Ukraine, Anton Gerashchenko berkata, proses pemindahan keluar penduduk terpaksa dihentikan ekoran serangan berterusan oleh tentera Rusia.

“Koridor hijau sukar untuk diwujudkan kerana Rusia akan mula menyerang pada bila-bila masa dan sesiapa sahaja,” kata Gerashchenko pada aplikasi Telegram.

Setakat ini, peperangan yang telah masuk hari ke-12 telah menyebabkan 1.5 juta penduduk Ukraine melarikan diri ke negara-negara jiran.

Pejabat hak asasi manusia PBB berkata, sekurang-kurangnya 351 orang awam telah disahkan terbunuh, namun angka sebenar dipercayai lebih tinggi. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI