fbpx

Minum guna saluran tiub di perut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SALMINAH memasukkan susu formula khas ke dalam badan Muhammad Azriel menggunakan saluran tiub melalui perut di rumahnya di Kampung Permatang Pasir, Merlimau, Jasin.

MELAKA – Usianya baru enam tahun, namun penderitaan yang terpaksa ditanggung Muhammad Azriel Jumadi cukup besar selepas dia disahkan mengidap penyakit Chromosomal Rearrangements (CCRs) atau keabnormalan kromosom.

Lebih memeritkan apabila penyakit yang jarang berlaku dengan nisbah satu daripada 1,000 kanak-kanak itu sukar untuk diubati.

Ketika ini, Muhammad Azriel yang juga anak bongsu daripada empat beradik itu hanya mengisi perut dengan susu formula khas yang diberikan melalui saluran tiub di perut.

Dia juga mengalami masalah mata kabur, telinga kiri kurang pendengaran dan sukar untuk berkomunikasi.

Ibunya, Salminah Sebri, 38, berkata, Muhammad Azriel mengalami masalah kesihatan sejak berusia dua bulan apabila doktor mengesan keadaan jantungnya yang berlubang.

“Pada mulanya, Muhammad Azriel hanya batuk-batuk dan lama-kelamaan dadanya semakin tenggelam dan berlekuk.

“Awalnya kami bawa dia ke klinik, namun doktor rujuk kes ke Hospital Muar sebelum disahkan jantungnya berlubang.

“Rupa-rupanya Muhammad Azriel mengalami masalah disebabkan keabnormalan kromosom dan penyakit tersebut merupakan penyakit yang jarang jumpa,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Permatang Pasir, Merlimau, Jasin di sini baru-baru ini.

Tambahnya, Muhammad juga seolah-olah tidak mempunyai deria rasa sakit kerana jarang menangis walaupun cedera, malah mempunyai tabiat suka mengupil luka sehingga berdarah.

“Dia mudah tersedak apabila makan menggunakan tiub sehinggakan jangkitan pada paru-paru dan sesak nafas.

“Walaupun berusia enam tahun, Azriel masih perlu memakai lampin dan kami juga perlu menukar tiub dengan kos sebanyak RM700 sebulan,” katanya yang mendapat bantuan RM200 sebulan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan RM450 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Menurut Salminah, suaminya, Jumadi Haron, 37, hanya membuat kerja-kerja kampung dengan pendapatan RM1,000 sebulan, manakala tiga anaknya yang lain masih bersekolah.

Dalam pada itu, orang ramai yang ingin membantu boleh menyumbang di akaun Maybank 1540-5340-5255 (Salminah Sebri). -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI