WASHINGTON – Beberapa kapal layar mewah milik golongan oligarki (elit) Rusia disita di seluruh dunia ketika Barat meneruskan sekatan ke atas mereka yang didakwa mempunyai hubungan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin, lapor akhbar Daily Star semalam.
Gaya hidup mewah dan kekayaan luar biasa golongan tersebut kini didedahkan, manakala pihak berkuasa menyita aset milik mereka termasuk rumah agam terapung.
Rabu lepas, ahli Kongres Amerika Syarikat, Don Young memperkenalkan Akta Membawa Kebertanggungjawaban Oligarki Menerusi Penyitaan (BOATS) yang secara khusus menyasarkan kapal-kapal layar mewah Rusia.
Perkembangan itu berlaku selepas pihak berkuasa Perancis menyita satu daripada kapal layar tersebut, dengan dua yang lain kini berada dalam tahanan pihak berkuasa Itali.
Menurut laman SuperYachtNews, Rusia memiliki sehingga 10 peratus daripada kapal layar mewah global.
Putin sendiri dikatakan memiliki empat kapal layar mewah tersebut. Satu daripadanya, Graceful, yang berharga £73.2 juta (RM404 juta), dilihat meninggalkan sebuah pelabuhan di Jerman pada bulan lepas sebelum Barat melaksanakan sekatan ke atas Rusia.
Lokasi terakhirnya yang diketahui adalah di Kaliningrad, wilayah Rusia yang diapit antara Poland dengan Lithuania di rantau Baltik.
Grace mempunyai panjang 79.8 meter (m) dan memiliki ciri mewah termasuk kolam renang sepanjang 15 m yang boleh bertukar ditukar menjadi lantai tarian. – AGENSI