fbpx

Dayang, Amir Masdi saling memuji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DAYANG NURFAIZAH dan Amir Masdi.

SUARA gemersik milik penyanyi asal Kuching, Sarawak itu memang tidak boleh ditiru. Hadirlah seberapa ramai pendatang baharu dalam arena seni suara tanah air, tiada seorang pun yang dikatakan memiliki vokal suara yang mirip sepertinya.

Itulah kelebihan yang dimiliki oleh figura terkenal, Dayang Nurfaizah yang memiliki keunikan vokal tersendiri sekali gus menjadikan dia antara penyanyi terbaik dan berkualiti di negara ini.

Melayari dunia seni hiburan selama lebih 20 tahun dengan pelbagai kejayaan yang diraih membuktikan Dayang atau nama lengkapnya Dayang Nurfaizah Awang Dowty berada di kelas tersendiri.

Biarpun boleh dikatakan Dayang sebagai penyanyi berkelas A, namun wanita berkulit sawo matang itu umpama mengikut resmi padi, semakin berisi semakin menunduk.

KOLABORASI antara Dayang dan Amir merupakan satu gabungan hebat kerana kedua-dua mereka memiliki vokal unik tersendiri.

Syarat

Populariti yang diraih bukan tiket untuk dirinya mendongak ke langit. Dayang justeru tidak bersikap memilih untuk berkolaborasi bersama pendatang baharu, namun bersyarat.

Penyanyi tersebut harus memiliki kualiti tersendiri selain lagu yang bakal dinyanyikan bersama juga mestilah bagus. Bukan memilih, namun penyanyi berusia 41 tahun itu hanya mahukan hasil yang terbaik.

Buktinya, Dayang kini muncul dengan single duet berjudul Debu bersama penyanyi lelaki bersuara ‘husky’, Amir Masdi yang amat dikaguminya.

“Duet bersama Amir berlaku secara kebetulan. Sebenarnya saya sudah lama mengagumi bakat Amir ketika dia muncul di pentas Big Stage pada tahun lalu.

“Kalau ikutkan saya tidak merancang pun hendak ada lagu duet selepas single Hujan bersama Hael Husaini,” katanya.

Ujarnya lagi, idea untuk berduet bersama Amir timbul selepas dia mendengar lagu Debu yang dinyanyikan bekas juara program Akademi Fantasia 2016 itu untuk tujuan demo.

DAYANG amat mengagumi bakat dan suara milik Amir Masdi yang dianggap unik dan berkelas tinggi.

“Awalnya lagu tersebut diberikan untuk saya menyanyi secara solo. Tapi apabila mendengar demo, saya tanya siapa pemilik suara nyanyian tersebut sebab suaranya sedap.

“Kemudian barulah timbul idea untuk saya merakamkan lagu Debu secara duet dan hasilnya menjadi,” ujarnya.

Puji Dayang kepada Amir, pelantun Seandainya Masih Ada Cinta itu percaya bahawa penyanyi itu boleh pergi jauh suatu hari nanti kerana suara yang dimilikinya sangat unik dan tersendiri.

“Saya suka suara Amir masa tengok dia buat persembahan di Big Stage. Saya cakap, tunggu masa dan lebih pengalaman menyanyi, dia boleh maju, bertambah baik dan pergi jauh,” jelasnya.

Bagi Dayang, dia tidak memilih siapa penyanyi duet yang akan merakamkan lagu bersamanya, asalkan karya yang diberikan itu sesuai dan saling memberi.

Malah, dia juga mengakui berasa seronok kerana dapat menyanyikan lagu secara duet kerana boleh bertukar-tukar idea dengan rakan penyanyinya.

“Populariti penyanyi itu bukan keutamaan. Bagi saya adalah suara, bakat dan lagu. Itu nombor satu. Macam Amir, dia pun secara perlahan-lahan membina kerjaya nyanyiannya. Dia muda dan jauh lagi perjalanan dalam bidang ini,” kata Dayang.

BAIK Dayang mahupun Amir, kedua-dua mereka menganggap Debu merupakan single ‘tidak dirancang’ yang terbaik pernah mereka hasilkan.

Mimpi

Sementara itu, Amir atau nama sebenarnya Amir Syazwan Masdi menyifatkan peluang merakamkan single duet bersama Dayang ibarat mimpi menjadi kenyataan.

Kata penyanyi berusia 26 tahun itu, sejak dahulu lagi dia memang mengimpikan untuk menyanyi bersama Dayang selain Datuk Seri Siti Nurhaliza.

“Memang mimpi jadi kenyataan. Setiap kali ditanya siapa artis wanita yang saya nak berduet, saya akan cakap Dayang.

“Ini memang antara impian saya untuk berduet dan keluarkan lagu dengan Dayang. Bila dapat tahu akan berduet dengannya dan saya nampak dia dalam studio, rasa amat teruja,” kata Amir.

Ujar penyanyi berimej ‘rockers’ itu lagi, dia menyifatkan Dayang sebagai seorang yang sangat merendah diri dan peramah.

“Ketika berjumpa, dia kata segan dengan saya. Jadi dari situ saya berasa dia sangat merendah diri walaupun dirinya penyanyi popular.

“Saya terharu dan rasa sangat dihargai. Dia tak kisah yang saya ini baharu atau tidak, tetap layan saya sama macam semua orang,” katanya.

AMIR berkata, single Debu bukan sekadar lagu berentak balada biasa kerana karya tersebut dihasilkan dengan keunikan dan kualiti tersendiri.

Lagu bergenre balada moden ciptaan sepenuhnya oleh Mas Dewangga, Jova Devito, Firdaus Rahmat, Mike Chan, Karim Karam dan Acap Salim tersebut dilihat sebagai buah tangan terbaik yang pernah dihasilkan Amir secara peribadi.

Malah, ketika sesi rakaman dibuat, Amir memberitahu, alunan vokal Dayang membuatkan semua orang terpukau dan terdiam ketika menyanyikan lagu Debu secara solo.

“Saya harap lagu ini dapat menimbulkan keterujaan daripada apa yang ada pada diri Dayang dan saya. Bagi saya, duet antara kami adalah sesuatu yang amat bermakna.

Saya boleh cakap, ini antara pencapaian besar buat karier saya,” ujarnya teruja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI