SUBANG – Jeneral Datuk Seri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan dilantik menjadi Panglima Tentera Udara (PTU) ke-20 berkuat kuasa hari ini.
Beliau sebelum ini memegang jawatan Timbalan Panglima TUDM menggantikan Tan Sri Ackbal Abdul Samad yang akan bersara wajib bermula September ini.
Majlis Serah Terima Tugas PTU diadakan di Pangkalan Tentera Udara, Subang, antara Ackbal dan Mohd. Asghar Khan disaksikan Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Affendi Buang.
Dalam pada itu, Ackbal berkata, dia berterima kasih buat semua peringkat kepimpinan di atas kerjasama dan sokongan yang telah dicurahkan sepanjang perkhidmatannya.
“Saya amat bertuah dan berbangga kerana saya telah dikuatkan semangat untuk menjalankan tugas sebagai PTU kerana telah mendapat sokongan yang begitu jitu lagi mantap daripada barisan para-para pemimpin di dalam TUDM.
“Sokongan daripada seluruh warga TUDM tidak kira pangkat, perajurit lelaki mahupun wanita dan barisan petugas awam telah bersama saya untuk memulakan suatu pembaharuan dalam budaya kerja agar ianya berkualiti, relevan lagi berkesan.- KOSMO! ONLINE