SEGAMAT – Kementerian Pertahanan sentiasa menitik beratkan isu perumahan bagi memastikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mendapat kediaman yang selesa dan selamat.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Perdana Menteri juga turut meletakkan Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) dalam perancangan termasuk Belanjawan 2022 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).
Jelas beliau, sebagai perwira negara yang tidak terhitung jasa dan pengorbanannya, semua mereka berhak mendapatkan kediaman yang selesa.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) telah menetapkan usaha menyediakan lebih banyak Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) sebagai salah satu petunjuk prestasi utama (KPI) saya selaku Menteri Kanan Pertahanan.
“Alhamdulillah, dalam tempoh beberapa bulan ini sahaja beliau telah melihat sendiri 2,000 unit RKMAT di Taman LTAT Bukit Jalil November tahun lalu dan 305 unit RKMAT di Kem Segamat hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKMAT) Kem Segamat melibatkan Rejimen Keempat Artileri Diraja (4 RAD) di sini semalam.
Hadir menyempurnakan Majlis tersebut adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diiringi Menteri Besar Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain.
Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, inisatif itu juga menggambarkan keseriusan kementeriannya untuk memelihara moral dan semangat para anggota melalui aspek kediaman bukan retorik.
Kata beliau, RKMAT dibina serta diserahkan kepada warga ATM mengikut perancangan dan terdapat beberapa lagi RKMAT yang telah siap pembinaannya dan bakal atau telah diduduki.
“Ini termasuklah 223 unit pelbagai kelas RKMAT Batalion Ke- 11 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Semenggo, Kuching, Sarawak yang telah diduduki pada 10 Mac 2021 serta 20 unit pelbagai kelas RKMAT 30 Briged Kem Oran, Kangar, Perlis yang pembinaannya telah siap sepenuhnya dan dilancarkan pada 21 Februari lalu.
“Turut selesai pembinaannya adalah 204 unit pelbagai kelas RKMAT 13 RAMD Kem Pakit, Sri Aman, Sarawak yang telah diserahkan kepada Lembaga Ambil Alih pada 16 Februari lalu,” ujarnya.
Hishammuddin menambah, terdapat 552 unit RKMAT melibatkan empat buah kem yang bakal siap tahun ini.
Antaranya, sebanyak 78 unit di 20 RAMD Kem Miri, 65 unit di 6 RAMD Kem Tok Jalai, 135 unit di 2 Rejimen Sempadan (2 RS) Kem Tumbi serta 274 unit di 34 Rejimen Artileri Diraja (34 RAD) Kem Bera.
Pada masa sama, beliau memaklumkan, Blueprint Perumahan MINDEF 3.0 akan dilancarkan dalam masa terdekat dan beberapa lagi RKMAT akan dibina.
“Ia perancangan menyeluruh yang selari dengan Aspirasi Keluarga Malaysia iaitu menitikberatkan kesejahteraan hidup setiap masyarakat berbilang bangsa, agama serta budaya.
“Mudah-mudahan perancangan berkaitan Blueprint Perumahan 3.0 ini berjalan lancar dan diharapkan Perdana Menteri sekali lagi dapat bersama-sama kita seterusnya merasmikan Blueprint berkenaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE