GUA MUSANG – Seorang penghantar makanan maut selepas tercampak ke dalam longkang apabila motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah treler di Kilometer 3.5,Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini semalam.
Dalam kemalangan pada pukul 3.30 petang itu, mangsa, Mohamad Amir Nordin, 23, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 disahkan meninggal dunia di dalam ambulans sewaktu dalam perjalanan dari Hospital Gua Musang ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, mangsa sedang dalam perjalanan untuk menghantar makanan dengan melalui jalan Gua Musang-Kuala Krai.
Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, sebuah treler jenis Volvo dipandu lelaki berusia 37 tahun yang berada di laluan bertentangan dipercayai hilang kawalan.
“Insiden itu menyebabkan treler itu masuk ke laluan sebelah sebelum bertembung dengan motosikal ditunggang mangsa dan sebuah sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger.
“Akibat kemalangan itu, treler berkenaan melintang di atas jalan manakala mangsa terpelanting ke dalam longkang di sebelah kiri jalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.- KOSMO! ONLINE