PETALING JAYA – Dua sungai masing-masing di Selangor dan Pulau Pinang dilaporkan telah melepasi paras bahaya setakat pukul 9 malam tadi.
Menurut laman web info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), kedua-dua sungai terbabit terus menunjukkan trend meningkat sejak petang tadi.
Paras air di stesen Sungai Klang di Bandar Klang, Selangor mencatatkan bacaan 3.10 meter (m) melebihi paras bahaya dengan bacaan normal iaitu 2.20 m.
Selain itu, Sungai Langat dan Sungai Damansara turut dilaporkan meningkat melebihi paras amaran dan waspada.
Di Pulau Pinang, paras air Sungai Jawi di stesen Seberang Perai Selatan mencatatkan bacaan 6.07 m berbanding bacaan normal 2.40 m.
Sementara itu, Sungai Junjung dan Juru turut dilaporkan telah melepasi paras amaran dan waspada dengan trend meningkat.
Terdahulu, MetMalaysia mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat di 12 negeri termasuk Sabah dan Sarawak malam ini. – KOSMO! ONLINE