SEGAMAT – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri yakin Barisan Nasional mampu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 dengan majoriti selesa melebihi dua pertiga.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO bagaimanapun meminta semua pihak terutamanya jentera parti untuk bekerja lebih keras sehingga hari pengundian selesai.
“Bagi saya peluang BN adalah baik, namun seperti saya katakan dalam setiap apapun pertandingan sebelum wisel penamat ditiup dan diisytiharkan kemenangan kita masih tidak boleh katakan kita sudah menang.
“Semua jentera masih perlu bekerja selagi kita belum menang, kita tak nak majoriti mudah, kita nak lebih daripada majoriti mudah kalau boleh dua pertiga” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKMAT) Kem Segamat di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.-KOSMO! ONLINE.