BERMULA sekadar hobi ketika berusia sembilan tahun, minat Amiira Natasya Othman terhadap seni tari telah mendorongnya memilih untuk menyambung pengajian dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan (Tari) di Universiti Malaya (UM).
Selepas itu, gadis berusia 25 tahun itu yang mesra disapa Amiira memilih untuk melanjutkan pengajian peringkat ijazah sarjana dalam bidang sama di UM.
Dia memaklumkan, tujuan utama mendalami bidang seni tari sehingga peringkat tertinggi adalah untuk mengejar cita-citanya sebagai seorang pensyarah dalam bidang berkenaan.
“Pada mulanya saya melanjutkan pelajaran dalam bidang ini adalah untuk mengenali dengan lebih mendalam setiap tarian sama ada dari aspek sejarah, muzik dan koreografi.
“Selepas itu, saya terfikir alang-alang sudah sampai sini (UM), tidak salah belajar sehingga peringkat tertinggi dan menjadi pensyarah,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.
Amiira bukan sahaja berjaya menguasai bidang seni tari dari aspek teori semata-mata, malah dia juga mempunyai bakat besar ketika membuat persembahan.
Buktinya, gadis berasal dari Pasir Gudang, Johor itu berjaya mengharumkan negara dengan membuat persembahan tarian di luar negara termasuk di Eropah.
Untuk makluman, Amiira banyak terlibat dalam persembahan seni tari tradisional tempatan merangkumi tarian zapin, inang, joget dan asli.
“Sebenarnya, terlalu banyak persembahan saya sertai sama ada peringkat negeri sehingga kebangsaan. Antaranya membuat persembahan Gema Zafana di Istana Budaya.
“Saya juga pernah mengharumkan nama negara ke peringkat antarabangsa. Salah satunya adalah berjaya meraih johan pada program International Pop Foundation di Costa Brava, Sepanyol pada 2013,” katanya.
Kini, bekas pelajar Sekolah Seni Malaysia Johor itu banyak membuat persembahan serta menyertai pertandingan di bawah nama Nyala Dance Theatre (NDT).
Amiira juga gemar mencabar diri melakukan sesuatu yang baharu dengan mengambil peluang menghasilkan karya atau koreografi tarian daripada idea sendiri.
“Saya sudah menari sejak kecil, kalau hari-hari menari sahaja memang penat. Lagipun badan pun sudah ‘tua’, jadi saya ingin juga sesuatu yang baharu terutamanya koreografi,” katanya.
Mengulas mengenai tanggapan negatif sesetengah masyarakat bahawa kerjaya karyawan seni tari tiada masa depan, anak kedua dari tiga beradik itu menepis persepsi berkenaan.
Katanya, masyarakat tidak sedar banyak bidang pekerjaan yang berkait rapat dengan aspek kesenian sama dalam perkhidmatan kerajaan mahu pun swasta.
“Mungkin ada beranggapan membabitkan diri dalam seni tari sia-sia. Ini kerana, mereka tidak sedar bidang seni luas,” katanya.
Selain menari, Amiira juga banyak terbabit dalam program kesukarelawan bagi membantu golongan memerlukan, selain dapat mengisi masa lapang di kampus.
Terbaharu, Amira menjadi sukarelawan sewaktu Kejohanan Berpasukan Badminton Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City, Selangor bulan lalu.
“Pada BATC lalu, saya menjadi pengiring pasukan Hong Kong. Ini pengalaman pertama saya menjadi sukarelawan dalam program sukan.
“Ia satu memori indah apabila dapat bertemu dan membantu pemain-pemain utama dunia seperti Lee Zii Jia dan Ng Ka Long sepanjang kejohanan berlangsung,” katanya.
Meskipun sibuk dengan aktiviti di dalam dan luar kampus, namun Amiira sama sekali tidak melupakan tanggungjawab sebagai mahasiswa.
Tegasnya, dia perlu bijak membahagikan masa antara kelas, tugasan, latihan, persembahan dan aktiviti kesukarelawanan supaya segalanya berjalan lancar.
“Ketika peringkat ijazah sarjana ini, kelas saya seminggu tiga kali saja. Selebihnya, hari-hari lain saya perlu siapkan tugasan yang diberikan pensyarah.
“Walaupun sibuk, saya perlu bijak mencuri masa untuk berlatih menari dan membuat persembahan,” ujarnya.