KOTA BHARU – Khabar mengenai pembukaan semula sempadan negara yang diumumkan Perdana Menteri semalam merupakan berita baik untuk sektor pelancongan negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata, ia berikutan sektor tersebut dilihat paling terjejas teruk sejak sempadan negara ditutup susulan pandemik Covid-19.
“Pengumuman telah dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam. Justeru, ia pelaksanaannya pasti sedikit lambat apabila memerlukan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) selain memastikan segala persiapan mantap sebelum tarikh pembukaan.
“Ini berita baik buat seluruh rakyat dan ia merupakan saat yang ditunggu-tunggu terutama sektor pelancongan yang terjejas teruk. Sekiranya sempadan antarabangsa tidak dibuka, pastinya amat sukar untuk memulihkan ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Program Transformasi Digital Pasar Besar Siti Khadijah di Pasar Besar Siti Khadijah di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mustapa memberitahu, semua pihak sudah boleh bersiap sedia dengan pembukaan sempadan negara termasuk kehadiran pelancong asing yang sudah lama menunggu. – KOSMO! ONLINE.