PENGARAH Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann tanpa berselindung mengakui masih bimbang dengan pandemik Covid-19 menjelang saingan Piala Thomas 2020 di Aarhus, Denmark Oktober depan.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya sedia mengadakan perbincangan bersama pemain serta jurulatih berhubung prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Bekas jaguh perseorangan lelaki No.1 dunia itu juga percaya badan induk sukan badminton dunia tersebut akan mencari jalan bagi memastikan keselamatan semua pemain lebih terjamin.
“Berhubung Covid-19, sebenarnya saya agak bimbang dengan situasi sekarang tetapi kami akan bincang dengan jurulatih serta pemain mengenai SOP yang sudah ditetapkan.
“Saya juga percaya mereka (BWF) akan cari jalan penyelesaian bagi memastikan kita rasa lebih selamat dan tenang selain mengurangkan risiko jangkitan,” kata Choong Hann.
Terdahulu, beberapa pasukan seperti Australia, Taiwan dan Thailand mengumumkan sudah menarik diri daripada kejohanan tersebut kerana masih ragu dengan situasi Covid-19.
Pada masa sama, beliau difahamkan semua pemain tidak akan menjalani kuarantin 14 hari, sebaliknya mereka hanya ditempatkan di lokasi tertentu bagi mengurangkan risiko.
Selain itu, Choong Hann percaya sekiranya mereka dikuarantin sama seperti di Malaysia selama 14 hari, pemain-pemain mungkin tidak mampu untuk menampilkan aksi maksimum kerana latihan yang terhad.
“Di sana, mereka tidak dikuarantin selama 14 hari seperti di sini tetapi mereka tempatkan pemain di lokasi tertentu untuk kurangkan risiko bercampur dengan orang ramai. Bagaimanapun, ujian calitan tetap dilakukan sebelum dan selepas tiba di sana.
“Sekiranya dikuarantin 14 hari, saya fikir pemain-pemain tidak boleh beraksi pada tahap tertinggi. Walaupun diletakkan di lokasi tertentu tetapi kita dibenarkan untuk berlatih,” jelasnya lagi.