fbpx

Jalan Pulau Betong-Pantai Pasir Panjang tidak diselenggara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LALUAN Pulau Betong ke Pasir Panjang tidak diselenggara dengan baik dikhuatiri boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya.

BALIK PULAU – Keadaan jalan di laluan Pulau Betong ke Pasir Panjang di sini dianggap berbahaya kepada pengguna jalan raya apabila didakwa tidak diselenggara dengan baik.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, tinjauan pihaknya mendapati bahagian kiri dan kanan jalan sepanjang dua kilometer itu dipenuhi daun kering dan sebahagian penghadang roboh dikhuatiri boleh menjejaskan keselamatan pengguna.

“CAP percaya jika tidak diambil tindakan segera, ia boleh mengundang perkara yang tidak diingini. Di samping masalah ha­kisan, kejadian tanah runtuh juga mungkin berulang pada masa akan datang,” katanya dalam ke­nyataan di sini semalam.

Menurut Mohideen, tinjauan mendapati saliran dipenuhi semak samun, cetek dan sempit serta terdapat beberapa lokasi kejadian tanah runtuh yang berlaku di lokasi berhampiran

“Masalah ini boleh menyebabkan air melimpah dan bertakung atas jalan ketika hujan,” katanya.

Selain keindahan alam se­mula jadi, kawasan tersebut turut menjadi tumpuan orang ramai beriadah dan merupakan laluan utama ke Kem Wawasan Negara.

“CAP mohon sistem pembuangan sampah diurus dengan baik agar tidak mencemarkan kawasan berkenaan. Kita mendapati sisa buangan berselerak di sekitar tong sampah menyebabkan keadaan kelihatan kotor,” kata kenyataan itu lagi.

Oleh itu, CAP menggesa Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Jabatan Kerja Raya menjalankan siasatan dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah itu demi keselesaan serta keselamatan para pengguna jalan berkenaan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI