PARIS – Ketiadaan Kylian Mbappe nyata beri kesan besar buat Paris Saint-Germain hingga menyaksikan pendahulu Ligue 1 itu tewas 1-0 kepada Nice di Allianz Riviera awal pagi semalam.
PSG nyata berdepan situasi sukar untuk memberikan aksi terbaik, namun Nice dipaksa menunggu sehingga minit ke-88 sebelum memperoleh gol tunggal perlawanan menerusi Andy Delort.
Biarpun gagal meraih kemenangan, PSG masih kekal selesa di puncak liga, namun keputusan itu jelas menimbulkan keresahan buat pengendalinya, Mauricio Pochettino ketika mereka dijadual menghadapi Real Madrid di pentas Liga Juara-Juara awal pagi Khamis ini.
Di sebalik kekecewaan, Pochettino percaya kekalahan tersebut akan memberi kesedaran kepada semua pemainnya untuk tampil lebih kuat bertemu Real nanti.
“Saya fikir kami begitu kecewa kerana gagal memenangi perlawanan ini. Kami mengawal permainan, namun gagal menjaringkan gol dan dalam perlawanan seperti ini, situasi ini (bolos) boleh berlaku walaupun di saat akhir.
“Ia perlawanan yang seimbang tetapi sepatutnya kamu tidak boleh tewas. Bagaimanapun, masih ada perkara positif yang kami dapat ambil daripada perlawanan ini.
“Tiada cara lain kecuali kami perlu memperbaiki prestasi pasukan.
“Sudah pasti ia menjadi perlawanan berbeza ketika menentang Real Madrid nanti dan kami tidak boleh buat perbandingan dengan perlawanan ini,” katanya. – AGENSI