MOSCOW – Pelumba Formula Satu (F1) Rusia, Nikita Mazepin menyuarakan kekecewaan selepas pasukannya, Haas bertindak menamatkan kontrak serta-merta tanpa sebarang perbincangan.
Pasukan dari Amerika Syarikat (AS) itu membuat keputusan untuk menamatkan kontrak Mazepin serta penaja utama, Uralkali selepas menerima tekanan ekoran pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.
Haas bertindak sedemikian memandangkan bapa Mazepin, Dmitry yang juga pengasas bersama Uralkali memiliki hubungan cukup rapat dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin.
“Saya sangat sedih dan kecewa apabila mendapat berita mengenai kontrak F1 saya ditamatkan serta-merta oleh Haas. Bagaimana ia boleh terjadi kerana saya sudah bersetuju dengan syarat-syarat FIA (Persekutuan Automobil Antarabangsa) sebelum ini.
“Kepada yang faham dengan apa yang berlaku ketika ini, saya mengucapkan terima kasih. Saya sudah mendapat pengalaman cukup berharga dalam F1, jadi saya harap kami boleh bersama lagi selepas ini,” kata Mazepin.
Terdahulu, FIA menggesa pelumba berusia 23 tahun itu supaya menandatangani dokumen yang membuktikan dia menentang pencerobohan ke atas Ukraine sebagai syarat untuk bersaing dalam musim 2022.
Bagaimanapun, sekatan menyeluruh yang dilakukan ke atas Rusia dan sekutunya, Belarus termasuk atlet mereka menyebabkan Haas terpaksa bertindak untuk menamatkan kontrak Mazepin yang masih berbaki semusim. – AGENSI