WASHINGTON – Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, sedang mengadakan perbincangan dengan Poland bagi kebarangkalian untuk menyediakan bantuan ketenteraan kepada Ukraine dengan menyumbangkan beberapa buah jet pejuang dari era Soviet, kata seorang jurucakap White House.
Menurut laporan stesen penyiaran NBC News, kerjasama tersebut akan menyaksikan Poland menyumbangkan jet pejuang MiG lama buatan Rusia kepada Ukraine. Negara itu kemudian akan menggantikannya semula dengan membeli jet pejuang buatan AS, F-16.
“Kami sedang bekerjasama dengan Poland berkenaan perkara ini dan berunding dengan negara-negara sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
“Kami juga berusaha untuk menyediakan sebarang keupayaan untuk membantu Poland sekiranya ia membuat keputusan untuk memindahkan pesawat-pesawatnya ke Ukraine,” kata jurucakap tersebut.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy sebelum itu membuat rayuan menerusi satu panggilan telefon dengan lebih 300 ahli Kongres semalam, bagi meminta bantuan berupa jet pejuang dan sokongan ketenteraan lain bagi membantu negara itu berdepan dengan serangan Rusia.
“Permintaan utama Zelenskyy adalah agar AS membenarkan Poland dan Romania memindahkan jet-jet pejuang dari era Soviet untuk digunakan di Ukraine serta menggantikannya dengan pesawat-pesawat yang lebih canggih untuk dua negara perikatan NATO itu,” kata wakil parti Demokratik, Brad Sherman menerusi Twitter.
Kerajaan Ukraine dilaporkan berminat dengan pesawat-pesawat dari era Soviet disebabkan juruterbang tentera negara itu telah dilatih untuk menerbangkan pesawat dari model seumpama itu. – AGENSI