BACHOK – Setiap anggota dan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu dibekalkan senjata api untuk menjalankan tugas penguatkuasaan dengan lebih selamat terutamanya ketika menjalankan operasi yang berisiko.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata, setakat ini, JPJ hanya dibekalkan 345 senjata api untuk kegunaan pegawai dan anggota di seluruh negara.
Menurutnya, penggunaan senjata api dalam kalangan anggota penguat kuasa adalah penting terutamanya dalam menghadapi sebarang ancaman pihak tertentu.
“Setiap pegawai dan anggota tidak lepas daripada menghadapi pelbagai ancaman terutamanya yang terlibat dalam penguatkuasaan. Penggunaan senjata api penting bagi memberikan keyakinan kepada mereka dalam menangani ancaman.
“Ketika ini, penggunaan senjata api hanya diberi keutamaan kepada pegawai dan anggota yang bertugas di lokasi berisiko selain pihak yang benar-benar memerlukan,” katanya kepada pemberita semasa hadir merasmikan Majlis Penutup Kursus Asas Pengendalian Senjata Api JPJ di Lapang Sasar Gunong hari ini.
Mengulas lanjut, Zailani memberitahu, ketika ini, anggota JPJ yang tidak memiliki senjata api dibekalkan gari dan baton semasa bertugas.- KOSMO! ONLINE