Oleh NOR AINNA HAMZAH
REMBAU – Memiliki dua anak orang kelainan upaya (OKU) merupakan amanah Allah yang tidak boleh disia-siakan, malah perlu dijaga dengan lebih perhatian.
Noorakmar Mahmood, 39, berkata, dia memiliki tiga orang anak dengan dua daripadanya Muhammad Arsyad Riffat Mohd. Ariff, 5, dan ketiganya, Adam Yusuf, tujuh bulan disahkan OKU kategori masalah pembelajaran.
Anak sulung Noorakmar, Nuraishiyah Hana Mohd Ariff, 7, merupakan seorang anak normal.
Menurutnya, Muhammad Arsyad atau dipanggil Rizqi kini hanya terlantar di atas katil dan tidak mampu berjalan seperti kanak-kanak seusianya yang lain.
“Bulan lepas doktor sahkan paru-paru Rizqi di tahap kronik dan disebabkan masalah itu, banyak sisa makanan masuk ke dalam paru-paru membuatkan dia sering muntah darah.
“Kami sedang menunggu masa untuk Rizqi menjalani pembedahan memasang tiub untuk saluran makanan di bahagian perut.
“Ketika ini doktor memasang tiub sementara di bahagian hidungnya bagi membolehkan dia minum susu khas,” katanya ketika ditemui dirumahnya di Kampung Batu dekat sini semalam.
Jelasnya, keadaan kesihatan anaknya yang tidak menentu itu selain kerap ke hospital menyebabkan dia terpaksa mengambil cuti separuh gaji pada bulan ini.
“Saya pernah mengambil cuti tanpa gaji selama setahun bagi menjaga Rizqi yang sehingga kini sudah 26 kali ditahan di hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Suami, Mohd. Ariff Mohammad, 40, membuat kerja-kerja kampung, namun penjagaan dua anak OKU ini memerlukan penjagaan yang lebih rapi,” ujarnya.
Menurut Noorakmar, dia sekeluarga berterima kasih kepada pihak yang telah menginfakkan mesin oksigen dan beberapa kemudahan lain untuk kegunaan Rizqi.
“Kami juga menerima bantuan daripada Baitulmal berbentuk enam tin susu dan lima bungkus lampin pakai buang setiap bulan dan sedang menunggu bantuan katil khas bagi kegunaan Rizqi.
Sehubungan itu, orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB 7053783457 atas nama Noorakmar Mahmood.