JOHOR BAHRU – Kegiatan sindiket dadah yang berselindung di sebalik kedai telefon di kawasan Larkin, di sini sebagai tempat pengedaran terbongkar apabila diserbu polis, Khamis lalu.
Ketua Polis, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam serbuan tersebut, pihaknya berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM746,890.
Beliau berkata, dalam serbuan tersebut, polis turut menahan dua lelaki tempatan yang berusia 31 dan 34 tahun bersama sejumlah rampasan dadah.
“Modus operandi sindiket yang telah beroperasi sejak November lalu adalah dengan menjadikan kedai telefon bimbit itu sebagai stor penyimpanan dadah untuk pasaran tempatan.
“Dengan tumpasnya, sindiket ini, pihak polis berjaya membuat rampasan dadah iaitu 1.7 kilogram (kg) pil ekstasi, 1.35kg ketamin dan 7kg pil erimin 5 dengan jumlah keseluruhan RM746,890,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Dalam serbuan itu polis turut merampas dua buah kereta, sebuah motosikal, wang tunai RM37,900 serta matawang Singapura berjumlah RM16,340.
Kamarul Zaman berkata, hasil semakan rekod lampau mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod berkaitan dadah dan jenayah.
Katanya, dadah yang dirampas dalam operasi itu boleh digunakan oleh seramai 43,295 orang penagih.
“Kita masih mengesan saki baki ahli sindiket tersebut selain memperoleh maklumat dari mana mereka mendapatkan bekalan dadah sama ada dari dalam atau luar negara,” katanya.
Kesemua suspek telah direman selama enam hari bermula tarikh tangkapan hingga Rabu ini bagi membantu siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sejak awal tahun sehingga Jumaat lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik telah berjaya membuat tangkapan seramai 3,056 individu atas pelbagai kesalahan dadah dan merampas 1.65 tan metrik dadah bernilai RM5.47 juta.-KOSMO! ONLINE