KOTA TINGGI – Kementerian Kesihatan (KKM) telah memaklumkan kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar melakukan pindaan terhadap prosedur operasi standard (SOP) berkenaan pemakaian pelitup muka sewaktu berucap ketika berkempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, KKM tiada halangan sekiranya SPR hendak mengubah sedikit SOP tersebut namun dalam masa sama memastikan ia dilakukan pada jarak sesuai tanpa ada individu yang rapat sepanjang berucap.
“Saya telah maklum kepada pegawai KKM untuk maklumkan kepada SPR hari ini bahawa KKM tiada halangan sekiranya SPR hendak ubah sedikit SOP dimana yang sedang berucap sekiranya tidak ada orang di sekeliling yang rapat, pada jarak sesuai boleh buka pelitup muka.
“Itu pun SOP sering kita guna di tempat lain dalam acara rasmi dan sebagainya. Kalau yang berucap itu tak ada orang sekeliling yang rapat sewaktu ucapan boleh buka tetapi audien kena kekal pakai pelitup muka.
“Saya sudah beritahu perkara ini kepada SPR. Mungkin hari ini akan buat pindaan sedikit terhadap SOP tersebut. Saya nampak kalau yang berucap berada pada jarak sesuai untuk tempoh ucapan itu boleh ia keluarkan pelitup muka. Kadang-kadang tidak sesuai, susah hendak ceramah, saya faham sebagai orang politik yang itu kita akan perbaiki,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan walkabout bersama calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Panti, Hahasrin Hashim di Kampung Lukut hari ini. – KOSMO! ONLINE